2.971 juta pengguna sudah daftar MyJPJ
KOTA BHARU - Seramai 2.971 juta pengguna kenderaan sudah mendaftar melalui aplikasi MyJPJ sejak diperkenalkan awal Februari lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim bagaimanapun berharap lebih ramai masyarakat akan memanfaatkan MyJPJ bagi memudahkan mereka.
Menurut beliau, agensi itu kini sedang berusaha bagi membolehkan pengguna kenderaan mendaftar melalui aplikasi berkenaan.
"Sekarang kita pamerkan untuk membiasakan masyarakat mengenai MyJPJ digital dan insya- ALLAH menjelang pertengahan tahun ini aplikasi itu boleh digunakan untuk menunjukkan dan memperbaharui lesen," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah dan bekas pengarah JPJ negeri Kelantan.
Zailani memberitahu, ia merupakan usaha pendigitalan yang dilakukan kumpulan teknologi maklumat JPJ tanpa sebarang konsultan.
"Alhamdulillah setakat ni ia berjalan lancar dan saya menyeru orang ramai memuat turun aplikasi ini bagi memudahkan urusan," katanya.
Bagaimanapun jelas Zailani, JPJ akan menggunakan alat Smart management Enforcement (SMED) bagi mereka yang ada isu berhubung ketiadaan liputan internet dan kesukaran penggunaan telefon.
"Pengguna kenderaan hanya perlu menunjukkan lesen kenderaan mereka dan kami akan membantu memeriksa lesen atau cukai jalan mereka," katanya.
Sementara itu, pada majlis sama, seramai 40 anak yatim dan asnaf menerima sumbangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!