Jaringan ke-100 Heung-min cetus inspirasi
PEMAIN Korea Selatan, Son Heung-min melalui detik bersejarah dalam kariernya apabila menjadi individu Asia pertama menyumbat 100 gol dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pengalaman manis itu dinikmati ketika membantu Tottenham Hotspur menewaskan Brighton 2-1 malam Sabtu.
"Ia sesuatu yang saya impikan. Ia pencapaian menakjubkan yang tidak mampu saya lakukan tanpa bantuan rakan sepasukan," ujar Heung-min.
Jaringan bersejarah itu dilakukan menerusi sepakan lencong untuk meletakkan Spurs di depan pada babak pertama dalam aksi di Stadium Tottenham Hotspur, London.
Brighton kemudian menyamakan kedudukan menerusi Lewis Dunk sebelum Harry Kane memastikan kemenangan minit ke-79 untuk mengekalkan Spurs dalam pemburuan kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.
Heung-min turut menghadiahkan gol bersejarah itu kepada mendiang datuknya.
Ia adalah pencapaian membanggakan buat Heung-min yang mengharungi musim sukar dengan prestasi kurang memberangsang dan beberapa kali tersisih daripada kesebelasan utama, selain kematian datuknya baru-baru ini.
"Menjaringkan 100 gol di EPL adalah sesuatu yang cukup besar. Ia amat beremosi kerana saya mengharungi saat sukar sejak beberapa minggu lalu.
"Datuk saya meninggal dunia dan ia bukan sesuatu yang mudah. Saya hadiahkan gol ini kepadanya," ujar Heung-min.
Jaringan berharga itu diharapkan menjadi inspirasi buat pemain Asia khususnya kepada rakan senegara.
"Saya harap semua pemain Asia terutama dari Korea Selatan lihat pencapaian ini. Percaya diri sendiri anda boleh lakukan perkara luar biasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!