Satu kampung berbuka puasa bersama ketepi perbezaan politik
KUALA TERENGGANU - Tidak menjadikan perbezaan fahaman politik sebagai jurang pemisah, seramai lebih 200 penduduk Kampung Teluk Paku, di sini bergotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa bersama di dataran kampung itu pada Sabtu.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Teluk Paku, Ayob Mamat, 63, berkata, program digelar Majlis Berbuka Puasa Sekampung itu merupakan acara tahunan penduduk kampung berkenaan sejak 20 tahun lalu.
Menurutnya, pada program kali ini seekor lembu telah ditumbangkan sebagai hidangan lauk utama yang dinikmati ketika berbuka puasa.
"Program ini adalah acara tahunan yang diadakan sekali pada setiap Ramadan sejak tahun 2003. Kebanyakan penduduk kampung akan berkumpul bersama-sama untuk bergotong-royong menyediakan juadah sejak pagi sehingga masuk waktu berbuka.
"Untuk program kali ini kita telah memasak 80 kilogram (kg) daging untuk dibuat gulai, 35 kg beras, ikan masin, sambal belacan selain pencuci mulut seperti tembikai dan minuman," katanya ketika ditemui pada majlis itu pada Sabtu.
Ayob berkata, program itu masih dikekalkan sehingga kini bagi terus mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan masyarakat di kampung berkenaan.
"Kita tiada masalah dalam isu politik, dalam keadaan sebegini isu politik bagi kita perlu diketepikan. Apa yang utama ialah kesepakatan, perpaduan dan keserasian dalam kalangan penduduk kampung," ujarnya.
Menurut Ayob, sejak program itu diadakan pada 2003, ia pernah ditangguhkan sebanyak dua kali kerana pandemik Covid-19 dan berharap ia akan terus dihidupkan oleh generasi muda pada masa akan datang.
"Selepas ini kita akan ada satu lagi majlis berbuka puasa penduduk kampung di surau. Rasanya tak lengkap jika kita tak adakan majlis berbuka puasa bersama di surau kampung ini," ujarnya.
Ujar beliau, program diadakan itu menggunakan peruntukan dari KRT serta sumbangan penduduk kampung.
Difahamkan, Kampung Teluk Paku didiami lebih 120 keluarga dengan kapasiti penduduk hampir 1,000 orang.
Sementara itu, menurut seorang penduduk, Mohd Bakri Jusoh, 33, program itu mendapat sambutan hangat dalam kalangan penduduk kampung pada setiap tahun.
"Program ni diadakan sejak saya masih kecil. Ramai yang datang tidak kira kecil, besar, tua muda semuanya berkumpul untuk sama-sama berbuka puasa di sini.
"Apa yang saya tahu, hanya kampung ini sahaja yang masih mengekalkan majlis seumpama ini dan kita harap kampung lain pun dapat anjurkan program serupa bagi menyatupadukan dan eratkan hubungan sesama masyarakat," ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Normi suhaida jusoh, 44, berkata, dia teruja kerana ini kali pertama dia berkesempatan untuk menyertai program itu disebabkan beberapa kekangan sebelum ini.
"Dah lama saya nak join (sertai) program ni tapi asyik tertangguh setiap tahun. Macam tahun sebelum ni saya kena kuarantin sebab Covid-19. Syukurlah hari ini tercapai juga hasrat untuk sertai program ini.
" Insya-ALLAH, tahun-tahun akan datang kalau ada rezeki dan peluang saya akan sertai lagi majlis ini, "katanya yang hadir ke majlis itu bersama lapan ahli keluarga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!