Op Pantau: KPDN lakukan 39,420 pemeriksaan

Pemeriksaan harga dan alat penimbang turut dilakukan di sebuah pasar.
Pemeriksaan harga dan alat penimbang turut dilakukan di sebuah pasar.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 606 aduan diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sepanjang Op Pantau yang dilaksanakan bermula 23 Mac sehingga 7 April.

Ketua Pengarah Penguat kuasa KPDN, Azman Adam berkata, aduan tersebut melibatkan perniagaan di pasar pagi, jualan murah, barang tiruan, pasar raya serta bazar raya.

Menurutnya, susulan aduan yang diterima, sebanyak 39,420 pemeriksaan perniagaan telah dibuat di seluruh negara.

"Sebanyak 257 kes telah diambil tindakan dengan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Pencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1972 paling banyak dilakukan.

"Kita juga ada terima aduan yang mengatakan ada peniaga naikkan harga barangan yang dijual.

"Hasil penelitian dan tumpuan aduan, kita dapati kenaikan berlaku ke atas barangan makanan dan minuman," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Seorang petugas KPDN memeriksa harga barangan di tapak bazar Ramadan.
Seorang petugas KPDN memeriksa harga barangan di tapak bazar Ramadan.

Mengulas lanjut, Azman berkata, pihaknya tidak menolak peningkatan aduan diterima itu adalah disebabkan faktor-faktor tertentu termasuk peningkatan bahan mentah dan kadar sewa tapak perniagaan.

Beliau berkata, pihaknya juga melakukan siasatan terperinci ke atas harga tidak munasabah yang dikenakan oleh peniaga dengan meminta mereka mengemukakan kos harga ke atas barang perniagaan masing-masing.

Tegas beliau, pihak KPDN sentiasa bertindak adil kepada semua pihak termasuk pengguna dan juga peniaga sebelum tindakan perundangan diambil.

"Kita akan siasat dan minta mereka (peniaga) tunjukkan bukti kos harga masing-masing, jika kos yang diterima peniaga itu sudah mahal, maka kita akan teruskan siasatan di pihak pembekal pula.

"Semua ini demi berlaku adil kepada semua pihak. Maka perkara selebihnya terpulang kepada pengguna untuk membuat pilihan," ujarnya.

Ditanya mengenai aduan kesalahan yang sering dilakukan peniaga bazar Ramadan, Azman berkata, aduan paling banyak diterima adalah melibatkan tanda harga.

Jelasnya, adalah menjadi kewajipan bagi peniaga meletakkan tanda harga supaya pembeli tahu dan dapat membuat perbandingan harga sebelum memutuskan untuk membeli atau sebaliknya.

Penguat kuasa KPDN melakukan pemeriksaan di sebuah gerai menjual pakaian di bazar raya.
Penguat kuasa KPDN melakukan pemeriksaan di sebuah gerai menjual pakaian di bazar raya.

Dalam pada itu, Azman turut memaklumkan tinjauan mendapati sebahagian peniaga bazar Ramadan dan bazar raya bertindak sambil lewa melibatkan perkara utama tersebut.

Beliau berkata, pada minggu pertama Ramadan, KPDN mengamalkan Penguatkuasaan Berimbang di mana kumpulan peniaga yang tidak meletakkan tanda harga akan diberi amaran.

"Namun pada minggu kedua penguatkuasaan dilakukan, masih ramai yang memberi alasan namun kita tidak menerimanya dan tindakan dikenakan.

"Bagi kita, ia sudah cukup adil kepada peniaga dan KPDN berusaha memastikan hak pengguna dipatuhi sepenuhnya," katanya.

Seorang petugas KPDN memeriksa harga dan kualiti telur di sebuah pasar raya. Gambar kanan: Seorang pegawai KPDN melakukan pemeriksaan harga di sebuah restoran bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga yang melampau.
Seorang petugas KPDN memeriksa harga dan kualiti telur di sebuah pasar raya. Gambar kanan: Seorang pegawai KPDN melakukan pemeriksaan harga di sebuah restoran bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga yang melampau.

Mengulas mengenai penetapan kawalan harga barangan sempena Hari Raya Aidilfitri, Azman berkata, perkara itu akan diumumkan menteri dalam masa terdekat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!