Town Hall Rakyat: Saifuddin sedia jawab segala soalan penonton

Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan kesediaan beliau untuk berhadapan dengan pelbagai soalan yang diajukan oleh penonton pada sesi Town Hall Rakyat di Kumpulan Karangkraf.

Menurutnya, program yang bakal berlangsung pada Isnin itu merupakan medium efektif dan mampu memperoleh pencapaian luas dalam mengetahui masalah rakyat.

“Saya menyatakan kesediaan dan kesudian untuk memenuhi undangan Sinar Harian dalam program Town Hall kerana saya yakin ia membuka ruang yang luas untuk saya berinteraksi dengan penonton yang lebih ramai.

“Saya juga menyatakan kesediaan saya untuk berhadapan dengan apa juga bentuk soalan yang bakal dikemukakan bagaimana pedas, perit, panas sekalipun, saya rasa itu lumrah hidup orang politik,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Town Hall Rakyat Sinar Harian berupaya menjadi pentas kepada pemimpin dan barisan menteri membentangkan kad laporan prestasi masing-masing.

Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, selain memahami peranan dan tanggungjawab kementerian serta agensi terlibat, pentas itu juga mampu menjadi platform interaktif kepada rakyat untuk bertanya soalan secara terus kepada pemimpin selain membangkitkan isu berkaitan.

Town Hall Rakyat Sinar Harian akan dihoskan oleh pelakon popular yang bakatnya dicungkil menerusi program Kumpulan Karangkraf iaitu Azhar Sulaiman.

Saifuddin Nasution berharap, di akhir program tersebut pengunjung akan lebih memahami tiga perkara termasuk, fungsi dan peranan Kementerian Dalam Negeri (KDN), mengenali agensi di bawah kementerian itu dan mengetahui bahawa kementerian itu bersedia memberi khidmat yang terbaik.

“Ini kerana banyak agensi di bawah KDN adalah terkait dengan sistem penyampaian. Saya berharap ini peluang terbaik buat penonton dan peluang terbaik saya untuk berkongsi segala bentuk maklumat,” ujarnya.

Beliau turut berharap dengan melalui pameran daripada agensi-agensi di bawah KDN seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), aset Polis Diraja Malaysia (PDRM), ia sedikit sebanyak memberikan pendedahan kepada penonton tentang peranan dan fungsi agensi itu.

“Lebih-lebih lagi JPN. Ini kerana, jabatan ini menguruskan kelahiran, kematian, dokumen peribadi dan segala macam.

“Sementara, aset polis sebagai satu agensi penguatkuasa yang terbesar di negara ini sudah tentu pendedahan kepada ini akan menumbuhkan lagi keyakinan yang kuat dari kalangan masyarakat awam,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!