Kanak-kanak OKU johan tulisan paling cantik
FREDERICK - MARYLAND. Seorang kanak-kanak perempuan yang dilahirkan tanpa kedua-dua pergelangan tangan memenangi pertandingan tulisan tangan bersambung paling cantik peringkat kebangsaan di Amerika Syarikat (AS).
Laporan The Washington Post, Sara Hinesley, 10, pelajar gred tiga Sekolah daerah Katolik St. John, memenangi anugerah Nicholas Maxim 2019 dan bakal membawa pulang sebuah trofi serta wang tunai berjumlah AS$500 (RM2,070) pada 13 Jun ini.
Anugerah tahunan itu diberikan kepada dua murid istimewa, masing-masing bagi kategori tulisan dan skrip.
Kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) itu turut boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Mandarin.
Dia menguasai bahasa Inggeris dengan bantuan saudara perempuannya, Veronica setelah berhijrah ke AS dari China untuk tinggal bersama keluarga baharunya pada Julai 2015.
Menulis dengan cara unik hanya mengepit pensil menggunakan kedua-dua belah lengan dan memberi fokus terhadap setiap lengkungan huruf.
Katanya, menulis tulisan bersambung membuatkan dia berasa seperti menghasilkan satu karya seni.
Jelas gurunya, Cheryl Churilla, Hinesley merupakan seorang kanak-kanak yang mendengar kata.
"Saya tidak pernah mendengar anak kecil ini berkata ‘saya tidak boleh’.
"Dia seorang bintang kecil, sanggup menyahut setiap cabaran yang diberikan kepadanya dan memberikan yang terbaik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!