Pemeriksaan kenderaan secara percuma Puspakom bermula esok
SHAH ALAM - Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) mengambil inisiatif menganjurkan kempen pemeriksaan kenderaan sukarela secara percuma kepada semua pemandu dan pemilik kenderaan persendirian bermula dari 10 April hingga 20 April 2023.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohammed Shukor Ismail berkata, ia sebagai satu langkah memastikan keselamatan jalan raya pada hari perayaan Aidilfitri.
“Kempen pemeriksaan percuma ini bertujuan membantu mereka mengetahui kondisi kenderaan melalui pemeriksaan yang menggunakan peralatan berkomputer Puspakom.
“Maklumat ini mereka boleh gunakan sebagai rujukan untuk melakukan penyelenggaraan yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut Shukor, pemilik kenderaan yang ingin mendapatkan pemeriksaan percuma dikenali sebagai Pemeriksaan Kenderaan Sukarela (Vvi) boleh hadir tanpa sebarang temu janji seluruh negara kecuali cawangan Shah Alam, Taman Bukit Maluri dan Pasir Gudang dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
Jelasnya, Puspakom turut menganjurkan peraduan mudah kepada pelanggan dan menawarkan pemeriksaan percuma di beberapa lokasi terpilih seperti di Wisma DRB-HICOM dan Multimedia University (MMU) Cyberjaya pada 11 April.
Tambahannya, antara aspek pemeriksaan kenderaan termasuk keselamatan brek, gelincir sisi, tayar, suspensi, asap dan sebagainya.
“Unit Pemeriksaan Bergerak turut menawarkan pemeriksaan percuma di Setia Alam Impian pada 15 April, manakala pada 19 April di Lotus’s Ara Damansara.
“Pada kempen kali ini, kami beri layanan VIP kepada pelanggan yang menjalani pemeriksaan sukarela di mana mereka boleh hadir terus ke Puspakom tanpa perlu temu janji dan turut diberi keutamaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!