PKR sasar tambah 500 Ranting
PETALING JAYA - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyasarkan untuk menambah sekurang-kurangnya 500 Ranting termasuk di Sarawak pada tahun ini.
Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, buat masa ini, sebanyak 529 ranting didaftarkan di seluruh negara, manakala 372 permohonan lagi masih dalam proses menunggu kelulusan.
Beliau berkata, bagi mencapai matlamat itu, beberapa penambahbaikan dari segi tatacara permohonan diperkenalkan termasuk penyelarasan logo serta papan tanda setiap Ranting di seluruh negara.
Menurutnya, bagi prosedur baharu ini, permohonan pendaftaran Ranting perlu dihantar secara manual kepada cabang masing-masing untuk mendapat kelulusan.
Katanya, tempoh kelulusan permohonan adalah sebulan, namun jika tidak diluluskan, pemohon boleh membuat rayuan terus kepada jawatankuasa.
“Jadi 372 permohonan ranting yang masih belum diluluskan, sudah kita kembalikan ke peringkat cabang untuk disemak mengikut prosedur baru permohonan.
“Kita percaya prosedur baru permohonan yang diperkenalkan ini bakal merancakkan lagi penubuhan ranting di seluruh negara khususnya di Sarawak menjelang pilihan raya negeri itu tidak lama lagi,” katanya pada sidang akhbar Pembukaan Permohonan Baharu Ranting PKR di Ibu Pejabat PKR Merchant Square, Tropicana, di sini, semalam.
Menurutnya, langkah tersebut juga adalah antara inisiatif ke arah menambah bilangan keanggotaan parti bagi mencapai satu juta ahli dalam tempoh beberapa tahun lagi.
Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berkata, pihaknya juga sudah menyelaraskan papan tanda dan logo ranting yang akan digunakan supaya rekaan, warna termasuk tulisan digunakan adalah sama di seluruh negara.
“Memo atau pekeliling baru berhubung perkara ini akan dihantar kepada setiap cabang dan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) seluruh negara.
"Kita juga akan turun ke negeri-negeri berjumpa mereka dalam masa terdekat untuk beri penerangan lebih terperinci tentang pembaharuan-pembaharuan yang kita buat demi kebaikan ahli-ahli,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!