[VIDEO] 'Kita bukan batang pisang' - Mahdzir Khalid

Mahdzir (tengah) pada sidang media selepas Mesyuarat Bersama BN dan PH yang secara rasmi bersetuju membentuk Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah pada Ahad.
Mahdzir (tengah) pada sidang media selepas Mesyuarat Bersama BN dan PH yang secara rasmi bersetuju membentuk Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menjelaskan, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) turut mempunyai strategi dalam merancang gerak kerja menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Menurutnya, sokongan kukuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberikan keyakinan kepada mereka untuk menang pada PRN.

"Kita bukan batang pisang, kita pun ada pengiraan dan strategi untuk hadapi mereka. Kita ada taktikal dan data yang akan diguna pada PRN nanti.

"Kita tahu mana kawasan yang ada jumlah pengundi Melayu ramai atau tidak. Dari situ kita boleh buat perkiraan dan rancang strategi," katanya pada sidang akhbar pada Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, bahawa Perikatan Nasional (PN) mampu menang sehingga 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN di Kedah.

Terdahulu, Mahdzir bersama Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar hadir pada Mesyuarat Bersama BN dan PH yang secara rasmi bersetuju membentuk Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah.

Turut hadir Timbalan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri, Nor Azrina Surip dan Pengerusi DAP negeri, Tan Kok Yew.

Jelas Mahdzir, PRN menjadi medan terbaik buat rakyat Kedah mengubah tampuk pentadbiran kerajaan negeri agar selari dengan pimpinan di Putrajaya.

"Kita tidak salahkan rakyat ketika Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) kerana waktu itu ada perlumbaan untuk tubuhkan kerajaan antara BN, BN dan PH.

"Akhirnya kita lihat BN dan PH membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.

"Ini bermakna Kedah menjadi pembangkang kepada Putrajaya ketika ini, kedua-dua boleh bekerjasama tetapi adalah lebih baik kerajaan di Putrajaya dan Alor Setar adalah sama," ujar beliau.

Sementara itu, Mahfuz pula berkata, PH tidak berdepan masalah mengadakan rundingan bersama BN dan perkara itu berjalan lancar.

"Pas yang susah berunding dengan UMNO sebelum ini, kami tidak ada masalah. Saya mula jumpa Tok Det (Mahdzir) di rumahnya untuk bincang perkara asas dan disusuli pertemuan hari ini, selepas ini akan diadakan rundingan kerusi dan konvensyen.

"Selepas itu, kita boleh lihat sasaran berapa kerusi yang PH dan BN boleh menang. Saya yakin Kerajaan Perpaduan dapat mengambil alih Kedah. Selepas ini Kedah Madani akan menyusuli Malaysia Madani," kata Mahfuz.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!