Hukuman sesuai kepada pasangan buat aksi jelik - Jimmy

Jimmy Puah (Laporan Sinar Harian pada Khamis.)
Jimmy Puah (Laporan Sinar Harian pada Khamis.)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah berharap agar pasangan yang melakukan perbuatan jelik dalam kenderaan baru-baru ini dikenakan hukuman dan perundangan yang bersesuaian dengan kesalahan yang mereka lakukan.

Menurutnya, siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan pasangan berkenaan dilihat sebagai terlalu berat.

"Apa yang saya nak jelaskan di sini, siasatan di bawah 377D ini bagi saya adalah agak berat kerana ia ada satu hukuman sahaja iaitu penjara dua tahun.

"Ini kerana mereka ini tidak melakukan jenayah mencuri, pukul orang, melakukan samun dan tak jual dadah, tapi kena masuk penjara atas perbuatan yang mereka lakukan.

"Bagi saya ia agak berat, orang muda ini patut diberi peluang kedua dan bagi saya, apabila ia sampai ke pihak pendakwa, mungkin ada sabitan yang lebih sesuai setimpal dengan kesalahan itu dan boleh tukar pendakwaan," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam pada Ahad.

Khamis lalu, seorang lelaki berusia 22 tahun dan gadis berusia 17 tahun ditahan kerana melakukan perbuatan jelik dalam sebuah kenderaan di Taman Kota Masai, di sini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi PKR Johor itu berkata, kedua-dua suspek yang ditahan reman selama dua hari itu dibebaskan dengan jaminan polis sementara polis meneruskan siasatan kes tersebut untuk dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Katanya, pihak yang merakam serta memuat baik aksi pasangan terbabit di media sosial akan turut dipanggil bagi membantu siasatan.

"Saya dimaklumkan oleh pihak polis kes ini masih dalam siasatan dan paling penting siasatan bukan sahaja kepada dua orang dalam kereta itu sahaja tapi melibatkan orang yang rakam dan muat naik di media sosial

"Bagi saya, itu lebih adil kerana turut melibatkan individu yang rakam dan sebar juga mungkin telah melanggar undang-undang sedia ada, contohnya Seksyen 233 Akta Multimedia dan Komunikasi.

Sementara itu, Jimmy berkata, perkara berkenaan diharap menjadi pengajaran kepada umum agar tidak mengulangi perbuatan sedemikian pada masa akan datang.

Beliau berkata, langkah itu perlu dilakukan sebagai pengajaran kepada umum agar tidak boleh sewenangnya melakukan perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan salah di sisi undang-undang.

"Dari segi moral, apa yang dilakukan itu mungkin tak begitu betul, tapi adakah wajar mereka dimalukan sebegitu di media sosial?

"Kita juga kena hormat isu privacy mereka, kalau nampak mereka buat salah, tak perlu rakam dan letak di Facebook, itu bahaya. Kalau ada kes seperti ini, sila jangan muat naik tapi bawa ke balai polis untuk siasatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!