Tang Jie–Ee Wei pahat sejarah di Perancis

Ee Wei (kiri) dan Tang Jie meraikan kejayaan menewaskan pasangan Taiwan dalam aksi final Terbuka Orleans di Perancis pada Ahad. - Foto Facebook BAM.
Ee Wei (kiri) dan Tang Jie meraikan kejayaan menewaskan pasangan Taiwan dalam aksi final Terbuka Orleans di Perancis pada Ahad. - Foto Facebook BAM.
A
A
A

BEREGU campuran muda negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei memahat sejarah tersendiri apabila buat kali pertama memenangi Kejohanan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas muncul juara Terbuka Orleans di Perancis pada Ahad.

Malah lebih manis ia merupakan final pertama pasangan itu yang baru digandingkan sejak November tahun lalu.

Kejayaan tersebut diraih selepas mereka menundukkan pasangan Taiwan, Ye Hong-wei-Lee Chia Hsin 21-19, 21-17 pada kejohanan berstatus Super 300 itu.

Dalam aksi di Palais des Sports tersebut, pasangan di ranking ke-26 dunia itu bermula baik pada set pertama apabila mendahului 11-8 sebelum menerima tentangan sengit dan akhirnya menoktahkan kemenangan dengan 21-19.

Ee Wei (kiri) dan Tang Jie mengungguli Terbuka Orleans di Perancis pada Ahad. - Foto Agensi
Ee Wei (kiri) dan Tang Jie mengungguli Terbuka Orleans di Perancis pada Ahad. - Foto Agensi

Memasuki set kedua mereka ketinggalan 8-11 sebelum mempamerkan kebangkitan untuk mengejar mata demi mata dan pasangan lawan terpaksa akur tewas 17-21 dalam tempoh 35 minit permainan.

Ia adalah pertemuan kali pertama antara Tang Jie-Ee Wei dengan gandingan Taiwan itu yang menghuni ranking ke-25 dunia.

Pada aksi separuh akhir sebelum ini, Tan Jie-Ee Wei mempamerkan rentak cemerlang apabila menewaskan gandingan Indonesia, Rehan Naufal-Lisa Ayu 21-10, 21-16.

Sebelum itu pada aksi suku akhir pasangan negara melakar kejutan terbesar apabila menundukkan juara Terbuka Switzerland dari China, Jiang Zhenbang-Wei Yaxin 21-14, 21-15.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!