Pembaziran makanan serius, perlu ditangani segera

Laporan Sinar Ahad mengenai pembaziran makanan.
Laporan Sinar Ahad mengenai pembaziran makanan.
A
A
A

AKHBAR ini pada Ahad melaporkan pendedahan oleh KDEB Waste Management bahawa peniaga bazar Ramadan di Selangor sahaja membuang sekitar 1,326.06 tan makanan tidak habis dijual dalam tempoh 18 hari rakyat Malaysia berpuasa.

Jika mahu digambarkan, jumlah pembaziran makanan berkenaan bersamaan dengan berat 195 ekor gajah biasa.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management, Datuk Ramli Mohd Tahir dilaporkan berkata, pihaknya merekodkan jumlah sisa bahan buangan sebanyak 73.67 tan sehari di tujuh kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada Ramadan tahun ini berbanding sebanyak 50.78 tan sehari pada Ramadan tahun lepas.

Sementara itu Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pula dilaporkan mengendalikan sebanyak 53 tan sisa makanan sehari atau purata 954 tan dalam tempoh 18 hari membabitkan 92 bazar Ramadan di Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Ia bukan satu pendedahan yang mengejutkan kerana isu membuang juadah yang tidak habis dijual ini sering dilaporkan setiap kali bulan Ramadan.

Cuma jumlahnya berbeza pada setiap tahun. Peningkatan itu berikutan penambahan jumlah bazar Ramadan yang dibuka.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan turut mengakui makanan yang tidak dihabiskan atau tidak terjual di bazar Ramadan merupakan penyumbang utama kepada peningkatan kutipan harian sisa pepejal.

Senario itu di bulan Ramadan menampakkan seolah-olah rakyat di negara ini khususnya umat Islam menjadikan bulan yang mulia ini untuk membazirkan makanan.

Bukankah umat Islam dituntut agar tidak membazir dan digalakkan berjimat cermat.

Ramadan juga sepatutnya menjadi bulan mengawal hawa nafsu tetapi apa yang berlaku adalah di sebaliknya.

Justeru semua pihak perlu memainkan peranan bagi mengelakkan pembaziran.

Pembuangan sisa makanan ini sepatutnya boleh dielakkan jika masyarakat khususnya peniaga bazar Ramadan bijak mengurus dan mengurangkan sisa makanan.

Antara inisiatif yang boleh dilakukan untuk mengurangkan pembaziran makanan ialah mengagihkan makanan yang tidak terjual kepada golongan yang memerlukan.

Trend ini sekiranya tidak dicegah, jumlah peratusan sisa makanan itu akan terus meningkat seterusnya memberi kesan jangka panjang kepada kelestarian alam dan melibatkan kos kepada negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!