[VIDEO] ‘Sumbangan Yayasan Nur sangat bermakna buat keluarga kami’

Zulkifli bersama Siti Nuratikah dan tiga anak mereka menerima sumbangan wang tunai daripada Yayasan Nur Karangkraf.
Zulkifli bersama Siti Nuratikah dan tiga anak mereka menerima sumbangan wang tunai daripada Yayasan Nur Karangkraf.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keceriaan jelas terpancar pada wajah Zulkifli Ainul Mokhsein, 35, yang menerima sumbangan bantuan wang tunai daripada Yayasan Nur Karangkraf (Yayasan Nur).

Zulkifli dan isteri, Siti Nuratikah Mohd Suhaimi, 30, yang merupakan pasangan orang kurang upaya (OKU) bisu dan pekak itu mempunyai tiga anak berusia setahun hingga tujuh tahun.

Zulkifli yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Setia Indah berkata, sumbangan sebanyak RM2,000 itu cukup bererti dalam meringankan bebannya untuk membeli barangan keperluan harian.

Dia yang menghidap barah limfoma tahap empat berkata, mereka sekeluarga tidak pernah melakukan sebarang persiapan untuk Ramadan dan Syawal kerana dia sudah tidak lagi bekerja.

"Ketika ini, saya cuma fikirkan untuk bayar sewa rumah sebanyak RM250 sebulan, bil air dan elektrik. Selain itu, nak beli makanan dan beberapa keperluan harian lain untuk anak-anak.

"Sumbangan yang diterima ini cukup bermakna buat kami sekeluarga, mungkin saya dapat beli sepasang baju raya untuk anak-anak," katanya kepada Sinar Harian dengan berkomunikasi menerusi aplikasi WhatsApp ketika ditemui di rumahnya.

Sumbangan itu diserahkan Ketua Wartawan Johor, Nor Azura Md Amin yang mewakili Yayasan Nur kepada Zulkifli di rumah didiaminya di PPR Taman Setia Indah, Johor Bahru.

Jelasnya, walaupun menerima bantuan bulanan daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) sebanyak RM400 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM450 sebulan namun jumlah itu masih tidak mencukupi.

"Saya diuji dengan barah limfoma tahap empat dan dalam tempoh lima tahun, sel kanser berulang-kali aktif. Sudah hampir 40 kali saya menjalani kemoterapi.

"Sel barah saya dari bahagian dada kini didapati masih aktif dan merebak hampir hingga ke seluruh badan dan hanya ALLAH SWT saja yang tahu jangka hayat saya.

"Doktor mengesahkan sel barah saya sudah merebak hampir ke seluruh tubuh dan menasihati untuk menjalani rawatan radioterapi di Hospital Sultan Ismail (HSI) sebanyak 20 kali mulai akhir bulan ini," katanya.

Zulkifli bersama Siti Nuratikah menerima sumbangan wang tunai daripada Yayasan Nur Karangkraf disampaikan Ketua Wartawan Johor, Nor Azura Md Amin di PPR Taman Setia Indah Johor Bahru.
Zulkifli bersama Siti Nuratikah menerima sumbangan wang tunai daripada Yayasan Nur Karangkraf disampaikan Ketua Wartawan Johor, Nor Azura Md Amin di PPR Taman Setia Indah Johor Bahru.

Zulkifli memberitahu pernah dimasukkan ke Institut Kanser Negara (IKN) pada awal Mac untuk menjalani Positron Emission Tomography (PET Scan) dan CT Scan (pengimbasan tomografi berkomputer) bagi pemeriksaan seluruh tubuh.

Dia kini hanya berserah kepada tuhan dan ikhtiar menjalani rawatan radioterapi demi isteri serta tiga anaknya itu.

Di sebalik ujian yang dilalui, Zulkifli masih menaruh harapan agar dapat pulang beraya ke kampung halamannya di Tronoh, Perak.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Yayasan Nur, Zuwita Kamaruzaman berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu keluarga Zulkifli selepas terbaca kisah keluarga pasangan OKU itu yang disiarkan Sinar Harian pada 22 Mac lalu.

“Bapa kepada tiga cahaya mata itu mendakwa sering terputus bekalan makanan dan kadangkala terpaksa berkongsi dua bungkus nasi bajet bagi mengikat perut.

“Semoga sumbangan daripada Yayasan Nur ini dapat meringankan beban mereka sekeluarga sekali gus memberi sedikit kegembiraan dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri kali ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!