PRN: Wujudkah harapan buat BN di Kelantan?

BN merayu untuk memegang mandat sebagai pentadbir di Kelantan pada PRN akan datang.
BN merayu untuk memegang mandat sebagai pentadbir di Kelantan pada PRN akan datang.
A
A
A

RAYUAN Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada rakyat Kelantan supaya memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk memegang mandat sebagai pentadbir kepada negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang menarik perhatian orang ramai.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu meminta gabungan tersebut untuk diberikan tempoh meskipun cuma sepenggal bagi menjalankan transformasi.

Ahmad Zahid memberi alasan, perkara tersebut adalah penting kerana walaupun kerajaan Persekutuan memiliki agensi yang menguruskan infrastruktur di Kelantan, tanggungjawab pembangunannya masih berada kepada pemegang kuasa negeri.

Jelas beliau, sekiranya wacana kepimpinan yang dibawa mereka tidak menepati selera rakyat di negeri tersebut, gabungan itu bersedia ditolak rakyat.

Kita sedia maklum, Kelantan merupakan satu kubu kuat pihak pembangkang sejak zaman berzaman.

Bermula pada 1990, negeri Cik Siti Wan Kembang itu dianggap bagaikan kipas susah mati buat mereka kerana tiada mana-mana kepimpinan parti lawan yang dapat menawan pentadbirannya dalam mana-mana pilihan raya.

Bermula dari era Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi disusuli Datuk Seri Najib Razak sehingga memasuki era baharu pemerintahan oleh pengasas kepada idea reformasi iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiada sebarang respons kejatuhan diramalkan.

Masyarakat sedia maklum, Kelantan merupakan sebuah negeri yang kuat jiwa konservatifnya terutama melibatkan nilai-nilai Islam.

Oleh itu, mahu atau tidak, mana-mana pihak yang ingin menawan negeri Serambi Mekah itu haruslah mempunyai karakteristik ketimuran tinggi.

Dengan konsep Malaysia Madani yang dibawa Anwar, timbul satu lagi persoalan tentang sejauh mana kekuatan Kerajaan Perpaduan kini dapat menembusi kepercayaan negeri itu.

Walaupun demikian, semua pihak harus bersedia untuk memberi peluang kepada pihak yang mempunyai kredibiliti untuk membawa anjakan paradigma baharu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!