Yusri mahu pemain tampil lebih yakin

Nik Akif Syahiran (depan) kembali perkuatkan jentera tengah Kelantan apabila bertemu Pulau Pinang pada aksi Liga Premier di Kota Bharu, malam ini.
Nik Akif Syahiran (depan) kembali perkuatkan jentera tengah Kelantan apabila bertemu Pulau Pinang pada aksi Liga Premier di Kota Bharu, malam ini.
A
A
A

BARISAN pemain Kelantan dituntut menampilkan keyakinan diri lebih tinggi apabila berdepan Pulau Pinang pada saingan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Pengendali The Red Warriors, Yusri Che Lah berkata, anak buahnya perlu kembali menunjukkan karakter positif sekiranya tidak mahu mereka terus menjadi mangsa kekalahan sekali gus kekal menghuni dasar liga.

“Saya harap mereka lebih fokus perlawanan ini kerana ketika bertemu Negeri Sembilan baru-baru ini, nampak seolah-olah mereka tidak ada keyakinan. Saya menyentuh perkara ini kerana ada pemain tidak ada keyakinan terutama ketika mengawal bola.

“Tanpa keyakinan, pemain akan berterusan melakukan kesilapan dan dihukum dalam perlawanan walaupun sebahagian besar mereka berada di bawah kendalian saya, sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam masa sama, jurulatih kelahiran Perlis itu juga mahu anak didiknya bangkit mempamerkan aksi agresif kerana Kelantan tampak begitu tertekan setelah gagal mencatatkan kemenangan di laman sendiri, sepanjang musim ini.

“Kita belum menang walaupun sekali di Kota Bharu. Saya tahu ini masalah besar kerana penyokong Kelantan mahukan mereka beraksi dengan baik dan meraih kemenangan. Saya harap ia dapat direalisasikan malam ini,” katanya.

Dalam pada itu, Yusri tampak lega apabila dua tonggak utama, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Mohd Azwan Aripin selesai menjalani penggantungan sekali gus membolehkan mereka diturunkan untuk menghadapi skuad bimbingan Manzoor Azwira Abd Wahid.

“Cuma saya masih gagal menggunakan Nik Azli (Nik Alias) dan Cassio (de Jesus) kerana mereka masih mengalami kecederaan. Tetapi dengan kemasukan semula Mohd Azwan, pasti ada rombakan di bahagian pertahanan dan hanya pemain terbaik sahaja akan disenaraikan dalam kesebelasan terkuat,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bekas jurulatih Kuala Lumpur itu pantas mengingatkan pemainnya agar lebih berwaspada dengan corak taktikal skuad Harimau Kumbang yang disifatkan mampu memerangkap mereka di hadapan penyokong sendiri.

“Kita perlu awasi rangkaian sayap kiri dan kanan lawan kerana mereka begitu pantas ketika menyerang dan mampu membawa masuk bola ke kawasan pintu gol. Ini yang pemain Kelantan perlu beri perhatian,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!