Agong imbau kenangan masa kecil di Istana Mangga Tunggal
PEKAN - "Inilah tempat saya dilahirkan," demikian titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebaik melangkah memasuki Istana Mangga Tunggal, di sini iaitu tempat baginda diputerakan hampir 64 tahun yang lepas.
Seri Paduka yang ditemani Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah meluangkan masa lebih setengah jam melawat istana yang dibina oleh seorang tukang Melayu yang mahir dan sering membina istana raja pada zaman dahulu, Awang Mat Ali.
Al-Sultan Abdullah yang juga Sultan Pahang ketika bertitah menzahirkan harapan agar istana berkenaan dapat dijadikan galeri dan dibuka kepada orang awam untuk melihat sendiri tempat Seri Paduka dibesarkan bersama kekanda dan adinda baginda.
"Saya harap kita buka untuk orang ramai buat galeri, kalau tak ada orang jaga dan tengokkan sayang juga... Alhamdulillah dah nampak elok sikit," titah baginda ketika melawat istana berkenaan selepas mengurniakan sumbangan kepada golongan asnaf dan miskin yang mendiami Tanah Kesultanan Pekan, di sini pada Ahad.
Istana yang namanya diambil sempena peristiwa sepohon pokok mangga yang berbuah hanya sebiji pada setiap kali musim buah di kawasan istana tersebut, turut memaparkan pelbagai koleksi potret Seri Paduka bersama keluarga selain masih menempatkan beberapa perabot asal dan barangan antik.
Ketika kunjungan berkenaan, Seri Paduka membawa pengamal media melihat sendiri kamar baginda diputerakan pada tanggal 30 Julai 1959, selain menceritakan kenangan baginda bersama Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah dan Almarhum Tengku Ampuan Afzan Tengku Muhammad ketika berada di ruang santap dan dapur.
Baginda merupakan cahaya mata keempat dan putera sulung kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah dan Almarhum Tengku Ampuan Afzan.
Selain itu, Seri Paduka juga berkongsi kisah zaman kanak-kanak baginda yang sering bermain bola bersama rakan sekolah termasuk peristiwa yang Al-Sultan Abdullah terjatuh pokok sehingga mengalami patah tangan.
Malah, Seri Paduka juga secara santai menceritakan pengalaman ngeri dan 'gangguan' yang dialami oleh petugas dan kekanda baginda ketika menetap di istana itu dahulu.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut kelihatan merakam gambar di istana berkenaan sebagai kenangan.
Istana Mangga Tunggal dibina pada 1934, pada awalnya didiami oleh Tengku Panglima Perang iaitu ayahanda kepada Almarhum Tengku Ampuan Afzan yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Pahang yang pertama.
Istana yang kini berusia hampir 90 tahun itu juga merupakan tempat bersemayam Almarhum Sultan Ahmad Shah sebelum baginda bersemayam di Istana Abu Bakar. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!