Karakoram pencetus mimpi Malaysia

A
A
A

MINGGU ini Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed berada di China untuk menghadiri The Second Belt and Road Forum for International Cooperation.

Sebagai seorang yang terlibat langsung dalam bidang kejuruteraan, penulis percaya isu perhubungan dan pengangkutan mesti dijadikan agenda utama antara Malaysia dan China. Malah, tanpa disedari, China sejak lama dahulu telah menjadikan agenda perhubungan pengangkutan sebagai keutamaan mereka.

Pada abad ke-7, China telah membina 'Tembok Besar’ sepanjang 380,000 kilometer di sepanjang garis timur-barat di utara negara tersebut.

Tembok berkenaan dijadikan kubu pertahanan dan pusat pengawasan menghalang serbuan penceroboh pelbagai kumpulan nomad Eurasia Steppe. Di atas Tembok Besar berkenaan, dibina jalan selebar 9 meter sebagai laluan pengangkutan timur-barat negara tersebut.

Tembok Besar China dianggap salah sebuah tujuh keajaiban dunia. China tidak pernah berhenti mencipta inovasi dan kewujudan Lebuhraya Karakoram bermula 1959 sebagai salah sebuah jalan berturap tertinggi di dunia kerana sebahagian laluan mencecah ketinggian lebih 4,400 meter, adalah sebahagian daripada usaha yang digelar.

Menyemak sejarah Lebuhraya Karakoram, penulis mendapati pembinaannya masih diteruskan dan laluan terbaharu melibatkan Thakot-Havelian dijangka siap pada Disember 2019.

Kenapa China begitu komited dengan Lebuhraya Karakoram? Penulis juga mendapati Lebuhraya Karakoram yang digelar 'Keajaiban Ke-8 Dunia’ menyelinap menyusuri bandar-bandar purba di sepanjang Laluan Sutera.

Jelas sekali China percaya hanya dengan kembali menguasai laluan darat sebagaimana zaman kegemilangan perdagangan dari timur ke Barat sehingga ke Rom (sekarang Itali), akan mengukuhkan status negara tersebut sebagai kuasa tunggal dunia. Ketika ini, China memiliki rangkaian perhubungan pengangkutan yang sangat luas menjangkau sehingga ke benua Eropah.

Artikel Berkaitan:

Lebuhraya Karakoram contoh terbaik. Ia melalui jalan Gunung Himalaya, Karakorum dan Pamir. Laluan dari Havelian, Pakistan ke Kashgar, China ialah sepanjang 1,200 kilometer. Lebuhraya Karakoram juga dikenali sebagai lebuh raya persahabatan Pakistan dan China.

Selain pertahanan dan kawalan sempadan, Laluan Sutera digunakan sebagai pusat pungutan cukai ke atas barang-barang diangkut sepanjang laluan berkenaan. Selain menggalakkan perdagangan, kawalan imigresen dan penghijrahan, Tembok Besar China dijadikan tempat penyuburan komunikasi.

Penghantaran isyarat keupayaan tertentu termasuk dengan cara asap atau api meyakinkan China bahawa bidang komunikasi perlu dikuasai sepenuhnya. Tembok Besar China juga pernah dijadikan koridor pengangkutan utama.

Bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana teknologi pengangkutan jalan sebagai salah satu bidang kejuruteraan disebut dalam al-Quran sebanyak 461 kali.

Pentingnya kejuruteraan pengangkutan dinyatakan dalam Surah An-Nahl [16:15] yang maksudnya: “Dan Dia menancapkan gunung-gunung di bumi supaya bumi itu tidak goncang bersama kamu, (dan Dia menciptakan) sungai-sungai dan jalan-jalan agar kamu mendapat petunjuk,”

Dalam Surah Thaahaa [20:53] ALLAH berfirman maksudnya: “(ALLAH) Yang telah menjadikan bagimu bumi sebagai hamparan dan yang telah menjadikan bagimu di bumi itu jalan-jalan, dan menurunkan dari langit air hujan. Maka Kami tumbuhkan dengan air hujan itu berjenis-jenis daripada tumbuh-tumbuhan yang bermacam-macam.”

Peringatan itu diteruskan dalam Surah Al-Anbyaa’ [21:31] memberi maksud: “Dan telah Kami jadikan di bumi ini gunung-gunung yang kukuh supaya bumi itu (tidak) goncang bersama mereka, dan telah Kami jadikan (pula) di bumi itu jalan-jalan yang luas, agar mereka mendapat petunjuk.”

Bertitik tolak daripada sini, China terus melangkah memajukan kejuruteraan pengangkutan sehingga sekarang terbinanya dua 'Laluan Sutera 2.0’ iaitu ‘Silk Road Economic Belt’ dan ‘Maritime Silk Road’ sebagaimana diumumkan Presiden, Xi Jinping pada tahun 2013.

Dua koridor perdagangan itu bertujuan membuka saluran perdagangan di antara China dengan lebih 68 negara Barat, Asia Tengah, Timur Tengah dan Eropah menelan belanja lebih AS$8 bilion (RM32 bilion).

Menurut 'Belt and Road Action Plan’ yang dikeluarkan pada tahun 2015, inisiatif tersebut merangkumi laluan jalan darat dan maritim dengan tujuan meningkatkan hubungan perdagangan di rantau ini terutamanya melalui pelaburan infrastruktur. Dalam hal ini, penulis cuba mengamati tahap teknologi kejuruteraan pengangkutan China. Jelas sekali China jauh ke hadapan mendahului banyak negara besar di dunia. Persoalannya ialah bagaimana China mampu mencipta teknologi dan membangun kejuruteraan yang sangat canggih dan mendahului negara maju yang lain.

Pengerusi Asia Partners Group, Kevin Liu meramal China akan menjadi kuasa ekonomi nombor satu dunia mengatasi Amerika Syarikat. Konsep 'the new global superpower’ ialah penjajahan China terhadap dunia dan sukar untuk dikekang oleh Barat termasuk Amerika sendiri.

Penulis mendapati ALLAH telah memberikan isyarat tentang peri pentingnya bidang kejuruteraan perhubungan sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Anfaal [8.1] bermaksud: “Mereka menanyakan kepadamu tentang (pembahagian) harta rampasan perang. Katakanlah: Harta rampasan perang itu kepunyaan ALLAH dan Rasul, sebab itu bertakwalah kepada ALLAH dan perbaikilah perhubungan di antara sesamamu, dan taatlah kepada ALLAH dan Rasul-Nya jika kamu adalah orang-orang yang beriman.”

Justeru, penulis berharap lawatan Dr Mahathir kali ini akan sekali lagi menghasilkan kejutan. Jika mahu dibandingkan dengan China, Malaysia belum sampai ke tahap memiliki teknologi canggih kejuruteraan pengangkutan.

Mungkinkah lawatan kali ini akan menghadiahkan buah tangan istimewa daripada China kepada Malaysia. Malaysia harus belajar bermimpi di siang hari demi menguasai teknologi canggih sektor pengangkutan sebagaimana dimiliki China, sekali gus membina kemudahan perhubungan dan pengangkutan yang bertaraf dunia di negara ini.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!