Rujuk agensi kebajikan elak pembaziran makanan
GOPENG - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana individu disaran merujuk agensi kebajikan sebelum menyampaikan sumbangan terutama berupa makanan bagi mengelak pembaziran.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Salbiah Mohamed berkata, niat baik penyumbang sangat dialu-alukan untuk membantu golongan memerlukan tetapi ia mestilah tidak berlaku pertindihan.
Menurutnya, apabila pemberian sumbangan itu diberikan tanpa nasihat jabatan berkaitan menyebabkan golongan sepatutnya menerima tidak mendapat sumbangan.
"Kita lihat memang ada berlaku bantuan itu disalurkan kepada orang yang sama dan kita melihat ramai lagi orang yang memerlukan. Ramai yang nak menyumbang mencari keberkatan bulan Ramadan cuma kadang kala perbuatan yang baik itu jadi sebaliknya apabila kita gagal mengenal pasti penerima yang selayaknya.
"Sebab itu saya memang bersetuju sekiranya NGO terutamanya rujuk kepada agensi yang berkaitan seperti JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) ataupun memilih institusi kebajikan yang bersesuaian kerana kita tahu fokus grup telah jelas mereka ini yang antara kategori yang memerlukan bantuan," katanya kepada pemberita ketika Program Sinari Ramadan dan Cahaya Aidilfitri Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak di Mydin RTC Perak di sini pada Ahad.
Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi GPMS Perak, Mohamad Faizal Haramaini.
Menerusi laporan muka hadapan Sinar Harian pada 9 April, peniaga bazar Ramadan di Selangor membuang sekitar 1,326.06 tan makanan yang tidak habis dijual dalam tempoh 18 hari rakyat Malaysia berpuasa.
Pada tahun 2021, Sinar Harian melaporkan trend pembuangan sisa makanan meningkat 15 hingga 20 peratus atau sekurang-kurangnya 10,000 tan makanan pada musim perayaan dan Ramadan.
Pada tahun sama, tinjauan di bazar Ramadan turut dijalankan dan mendapati rata-rata pengunjung membeli lebih daripada dua bungkusan juadah berbuka.
Sementara itu, mengenai program berkenaan, Salbiah berkata, seramai hampir 50 anak yatim dari Rumah Anak Yatim Darul Hikmah disantuni dengan pembelian kelengkapan Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, sebahagian peruntukan bagi program tersebut disediakan oleh GPMS Perak manakala sebahagian lagi disumbang oleh pejabatnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!