Cubaan seludup rokok RM1.2 juta di Setiu gagal

Mohd Khairulanuar (tengah) menunjukkan sebahagian rokok seludup yang berjaya dirampas dalam OP SEROP di Setiu pada Ahad.
Mohd Khairulanuar (tengah) menunjukkan sebahagian rokok seludup yang berjaya dirampas dalam OP SEROP di Setiu pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Cubaan beberapa individu menyeludup masuk kira-kira dua juta batang rokok putih dianggarkan bernilai hampir RM1.2 juta di muara sungai Setiu berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada Ahad.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, rampasan sebanyak 200 kotak besar rokok tersebut dilakukan pada jam 5.30 pagi melalui Operasi Khas Seludup Rokok Putih (OP SEROP).

Menurutnya, aktiviti penyeludupan telah dikesan menerusi maklumat risikan selama beberapa hari dan berdasarkan maklumat terbabit, sebuah bot Maritim ditugaskan bagi melaksanakan OP SEROP.

"Pemantauan dilakukan di lokasi dikenal pasti iaitu sekitar perairan Besut dan hasil rondaan, kita telah mengesan sebuah bot pancung enjin sangkut yang bergerak dalam keadaan mencurigakan.

"Menyedari kehadiran bot peronda Maritim, suspek bertindak memandu bot pancung memasuki kawasan cetek di muara Sungai Setiu untuk meloloskan diri.

"Namun, maklumat telah disalurkan kepada pasukan darat dan mereka berjaya mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di sana," katanya dalam sidang media di jeti Maritim Terengganu, di sini pada Isnin.

Bagaimanapun Mohd Khairulanuar berkata, ketika serbuan dibuat, semua penyeludup berjaya melarikan diri dan meninggalkan kotak rokok, bot pancung serta lori di lokasi kejadian.

Bot pancung yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan rokok di Setiu.
Bot pancung yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan rokok di Setiu.

Katanya, pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan menemui beberapa bungkusan plastik hitam berisi rokok putih yang ditinggalkan suspek.

"Rokok ini dipercayai untuk pasaran negeri Terengganu namun kita masih menyiasat bekalan ini dibawa dari mana.

"Kita juga percaya aktiviti penyeludupan ini melibatkan lebih dari sebuah bot kerana terdapat 40 kotak rokok ditemui di perairan Pulau Perhentian disyaki dibuang penyeludup selepas rampasan ini dibuat," katanya.

Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!