Rogol anak kandung: Bapa dipenjara 18 tahun, 13 sebatan
SEREMBAN - Seorang mekanik dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan 13 sebatan di Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya.
Hakim, Datin Surita Budin membuat keputusan itu selepas tertuduh yang berusia 47 tahun mengaku bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan secara berasingan.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh telah merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun semasa kejadian.
Perhubungan tertuduh dengannya adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang atau hukum agama atau adat atau kebiasaan yang terpakai kepada tertuduh untuk berkahwin dengannya.
Tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak sama ketika itu dia berusia 12 tahun dua bulan, yang mana tertuduh mempunyai hubungan amanah sebagai ayah kandung.
Kesemua perbuatan itu dilakukan antara 20 Disember 2017 hingga 20 April 2018 di dalam sebuah bilik tidur di sebuah rumah di Bahau, Jempol.
Oleh demikian tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah akta sama dan dibaca bersama Seksyen 16(a) akta sama.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, dalam nada sebak merayu agar mahkamah mengurangkan hukumannya berikutan perlu menanggung isterinya yang tidak bekerja, empat orang anak yang masih bersekolah selain telah insaf akan perbuatan tersebut.
Kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh kerana mangsa merupakan anak kandungnya dan sepatutnya dia dilindungi sebaliknya dianiaya oleh tertuduh selain perlu mengambil kira kepentingan awam dan keseriusan kes.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 3 April lepas dan 13 kali sebatan.
Mengikut fakta kes, tertuduh pernah memberitahu perkara itu kepada ibunya tetapi dinafikan tertuduh sehingga ibu mangsa tidak mempercayainya.
Bagaimanapun, pada tahun ini, mangsa yang berusia 17 tahun memberitahu rakannya mengenai perbuatan tertuduh sebelum membuat aduan kepada guru pada 3 April lalu seterusnya dibawa membuat laporan polis pada hari sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!