Ronaldo berang, bertengkar dengan pemain lawan

Ronaldo (kiri) dilihat bertengkar dengan pemain Al Feiha. - Foto Agensi
Ronaldo (kiri) dilihat bertengkar dengan pemain Al Feiha. - Foto Agensi
A
A
A

PEMAIN sensasi, Cristiano Ronaldo kecewa setelah pasukannya, Al Nassr sekadar terikat tanpa jaringan dengan Al Feiha dalam saingan Liga Pro Saudi awal pagi Isnin.

Kapten Portugal itu mendakwa pasukan lawan sengaja melengahkan permainan yang dilihat membantutkan misi Al Nassr memburu kejuaraan liga.

Pencabar mereka, Al Ittihad mencetak kemenangan 2-1 ke atas Al Wehda untuk mendahului dengan kelebihan tiga mata di puncak liga.

Sejurus tamat perlawanan Ronaldo dilihat bertengkar dengan pemain Al Feiha, Ali Al-Zaqaan dalam aksi Stadium King Salman Sport City itu.

Ronaldo kecewa susulan kegagalan skuadnya menembusi gawang Al Feiha dan pertelagahannya dengan Al-Zaqaan dirakam kamera televisyen.

"Anda tidak mahu bermain," herdik Ronaldo ketika berjalan ke luar padang.

Di belakangnya, pemain kedua-dua pasukan bertolakan sesama sendiri dengan Al Nassr tampak sangat kecewa selepas keciciran mata.

Al Nassr berkunjung ke tempat lawan berbekal semangat tinggi setelah membenam Al Adalah 5-0 minggu lalu.

Bekas pemain Manchester United itu meledak dua gol dalam akai itu tetapi gagal mengulanginya ketika menentang Al Feiha dengan kedua-dua pasukan buntu mencari jaringan.

Ronaldo berpeluang mencipta jaringan menarik tetapi sepakan percumanya sedikit melepasi palang, manakala gol Talisca dibatalkan angkara ofsaid.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!