Maqis rampas 50kg herba dari China

50kg herba dari China dirampas Maqis Pulau Pinang pada 7 April lalu.
50kg herba dari China dirampas Maqis Pulau Pinang pada 7 April lalu.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk 50 kilogram dagangan keluaran pertanian tanpa dokumen Permit Import Maqis bernilai RM9,500 pada 7 April lalu.

Pengarah Maqis Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd Talib Hashim berkata, barang dagangan dari China dan Amerika Syarikat itu dirampas di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini.

Menurutnya, rampasan itu dilakukan hasil kerjasama dengan pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

"Barangan tersebut berjaya dikesan dengan bantuan mesin pengimbas JKDM di LTAPP. Siasatan mendapati, keluaran pertanian (raw herbs) tersebut dirampas kerana tidak mempunyai permit import serta sijil fitosanitasi yang sah.

"Dagangan yang dibawa dari China, Amerika Syarikat dan lain-lain negara ini merupakan jenis tanaman herba seperti ginseng, akar kayu dan pelbagai daun kering," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kata beliau, kesalahan mengimport keluaran pertanian tanpa permit boleh didakwa mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama.

"Jika sabit kesalahan, syarikat boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali. Maqis akan sentiasa mempergiatkan kerjasama strategik antara agensi penguatkuasaan di sempadan bagi menangani isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

"Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!