Pemilik Kelantan FC, Zamsaham sedia undur diri
[DIKEMAS KINI] PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman sedia untuk mengundurkan diri sekiranya penyokong merasakan beliau tidak layak menjadi pemilik pasukan itu.
Menurut Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham berkata, beliau terfikir untuk melepaskan sepenuhnya saham pasukan Kelantan FC kepada individu yang mampu.
"Pelbagai usaha saya untuk naikkan kelab TRW (The Red Warriors) dari 2020 sehingga sekarang. Duit saya yang Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) hutang RM 3.8 juta belum di terima lagi sesen pun.
"Banyak perancangan saya termasuk fasiliti untuk TRW masih belum tercapai. Saya telah usaha untuk (tempoh) 2.5 tahun.
"Jika rasa saya tak cukup bagus dan tidak layak jadi pemilik kelab ini, saya terfikir untuk melepaskan sepenuhnya saham pasukan Kelantan FC ini kepada individu yang mampu," katanya di laman Facebooknya pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan apa yang dilontarkan itu bukan kerana merajuk atau marah.
"Harap takda salah faham. Cuma terpikir nak bagi peluang untuk sesiapa merasai jadi pemilik penuh sebuah kelab bola.
"Uruskan sendiri baru tahu bagaimana jadi pemilik. Kepada yang sentiasa positif dan kritis dengan TRW, saya ucapkan berjuta terima kasih," katanya.
Sebelum itu, penyokong Kelantan bertindak menggantung sepanduk sebagai tanda marah kepada Zamsaham selepas prestasi kurang memuaskan TRW dalam saingan Liga Super musim ini.
Segelintir penyokong turut menampal poster di sekitar pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu untuk meluahkan perasaan kecewa mereka.
Selepas mengharungi lapan perlawanan Kelantan FC hanya meraih satu kemenangan, satu seri dan lima kekalahan dengan mengumpul empat mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!