Ponteng puasa: JAINJ keluarkan 85 notis kesalahan

Anggota penguatkuasa JAINJ melakukan Op Kesan di sekitar bandar raya Johor Bahru
Anggota penguatkuasa JAINJ melakukan Op Kesan di sekitar bandar raya Johor Bahru
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 85 notis kesalahan dikeluarkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kepada individu yang didapati tidak berpuasa sepanjang tempoh penguatkuasaan Op Kesan dan Op Kutip sejak awal Ramadan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, sebanyak empat notis kesalahan pula dikeluarkan kepada pemilik kedai kerana menjual makanan dan minuman kepada individu tidak berpuasa.

"Sejak awal Ramadan ini, JAINJ telah menjalankan serbuan di beberapa lokasi dalam siri Ops Kesan ini bagi membanteras perbuatan tidak menghormati bulan Ramadan.

"Antara perbuatan yang diambil tindakan dalam operasi ini termasuklah makan, minum dan juga menghisap rokok di kawasan awam serta mana-mana tempat terbuka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai 97 pegawai dan anggota JAINJ dalam Ops Kesan dan Op Tapis yang diadakan di Bazar Ramadan Taman Suria, Kawasan Perindustrian Larkin, Pusat Perniagaan Bandar Baru Uda dan bandar raya Johor Bahru pada Isnin.

Anggota penguatkuasa JAINJ melakukan Op Kesan di sekitar bandar raya Johor Bahru.
Anggota penguatkuasa JAINJ melakukan Op Kesan di sekitar bandar raya Johor Bahru.

Dalam pada itu, Mohd Fared berkata, kesemua notis kesalahan yang dikeluarkan pihaknya dibuat mengikut Seksyen 15(a) dan Seksyen 15(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Tambahnya menerusi operasi yang dilakukan itu, masih ada yang tidak mengikut peraturan dan tergamak tidak menghormati Ramadan dengan menjual makanan seawal jam 10 pagi, malah pelanggan mereka membeli makanan secara terbuka.

"Tindakan terpaksa diambil pada hari ini setelah lokasi ini banyak kali diadukan sebagai 'lokasi panas' yang menjual makanan kepada orang Islam sekalipun Bahagian Penguatkuasaan JAINJ telah beberapa kali datang memberi nasihat.

"Kita juga terus menghubungi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru bagi mendapatkan kerjasama mengatasi masalah ini," katanya.

Mengenai Op Kutip pula, jelasnya sebanyak 12 tangkapan telah dibuat mengikut Seksyen 106 kerana mengutip derma tanpa kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!