Duit, barang kemas RM10,000 lesap diperdaya 'pegawai JKM'

PDRM
PDRM
A
A
A

JELI - Seorang wanita yang menyamar sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertindak memperdayakan warga emas di sekitar jajahan ini dengan menawarkan bantuan bulanan serta rumah baharu.

Wanita berusia 40-an itu dikatakan menaiki sebuah Perodua Axia berwarna hijau bersama seorang lelaki menyasarkan golongan warga emas.

Salah seorang ahli keluarga mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Zali, 51, berkata, pada Ahad, ibu dan ayah mentuanya yang tinggal di Kampung Lawar di sini telah didatangi 'pegawai JKM' yang kononnya ingin melakukan bancian.

"Wanita tersebut memperkenalkan diri sebagai pegawai dari JKM Tanah Merah dan menawarkan bantuan bulanan berjumlah RM500 serta sebuah rumah baharu.

"Dia juga meminta ibu dan ayah mentua membayar deposit RM2,500 bagi melancarkan proses bantuan tersebut," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Menurutnya, kerana terperdaya dengan kata-kata tersebut pasangan warga emas berusia 73 dan 82 tahun itu telah menyerahkan barang kemas sebagai gantian kepada wang tunai.

Ujarnya, ibu mentua telah memberikan seutas gelang tangan, rantai leher dan sebentuk cincin yang dianggarkan bernilai RM6,3000.

Zali memberitahu, wanita tersebut berjanji akan kembali semula pada hari Rabu ini untuk membawa kedua mentua melihat rumah baharu yang akan diberikan kepada mereka.

"Tersedar seperti ditipu, kami sekeluarga telah membuat laporan di Balai Polis Batu Melintang untuk tindakan selanjutnya.

"Selepas kejadian ini tersebar kami juga dimaklumkan terdapat beberapa warga emas di sekitar jajahan ini yang telah ditipu menggunakan modus operandi sama. Ada yang mengalami kerugian sehingga RM10,000," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Saari Yaacob ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!