Jualan Khas Syawal Madani mula 15 April ini - FAMA
LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membuka sejumlah 103 pasar tani di seluruh negara bagi melaksanakan Jualan Khas Syawal Madani mulai 15 April dengan sasaran jualan sebanyak RM12.5 juta.
Pemangku Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, pasar tani dengan harga barangan berpatutan itu memfokus kepada jualan barangan keperluan menyambut Aidilfitri selama enam hari hingga 20 April ini.
"Program akan dirasmikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di Pasar Tani Kelana Jaya 15 April ini dan kita menyasarkan jualan sempena program ini adalah sebanyak RM12.5 juta
“Antara barangan yang akan dijual di pasar tani itu ialah daging, ayam dan sayur-sayuran manakala menjelang hari raya, kita akan menjual daun kelapa untuk dibuat ketupat,” katanya pada Isnin.
Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Kerjasama Strategik FAMA dan Bank Rakyat di Ibu Pejabat FAMA yang turut dihadiri Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani di Ibu Pejabat FAMA di Selayang di sini.
Abdul Rashid menambah, beliau yakin barangan keperluan untuk menyambut ketibaan Syawal yang dijual di pasar tani itu adalah mencukupi malah pemantauan secara turun padang akan dilaksanakan pegawai agensi itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!