Rundingan tak bermaksud iktiraf tuntutan China - Mohammad Agus
SHAH ALAM - Keterbukaan Malaysia untuk berunding dengan China berhubung aktiviti cari gali oleh Petronas di Laut China Selatan tidak menunjukkan Malaysia sudah mengiktiraf kawasan zon ekonomi eksklusif (ZEE) tersebut milik China.
Ketua Pengarah J-KOM, Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, kenyataan yang dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu adalah bagi mempertahankan kawasan milik negara di meja rundingan.
"Kenyataan Perdana Menteri bukan mengiktiraf kawasan ZEE itu milik China tetapi mempertahankan kawasan itu sebagai kawasan milik negara kita di meja rundingan.
“Perdana Menteri menyuarakan hal itu kepada kerajaan China selepas mereka (China) juga menyatakan mereka menuntut kawasan sama,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Isnin.
Sebelum ini, Anwar memaklumkan, Petronas akan terus melaksanakan kerja cari gali minyak di kawasan sedia ada di Laut China Selatan dan terbuka untuk rundingan jika China berasakan kawasan berkenaan adalah wilayah mereka.
Bagaimanapun, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kenyataan Anwar itu sebagai tidak bertanggungjawab selain menggadai maruah serta kedaulatan negara.
Menurut Mohammad Agus, rundingan adalah sangat penting untuk menyelesaikan konflik secara aman dan konstruktif, terutamanya dengan China yang merupakan kuasa terbesar dunia.
“Dua nasihat saya. Pertama, jika pun kita berbeza politik kepartian, janganlah bermain dengan isu kedaulatan negara. Menuduh Perdana Menteri hendak menjual kedaulatan negara adalah tidak bertanggungjawab, tidak beretika dan tidak bermoral.
“Kedua, berpolitiklah dengan fakta. Perdana Menteri dan semua kita mahukan yang terbaik untuk negara. Tidak puas hati dengan keputusan Perdana Menteri, tegur dan kritiklah secara berhemah,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!