Anggota APM Kubang Pasu maut kemalangan balik kerja
ALOR SETAR - Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kubang Pasu maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan dua kereta di KM15.3 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara dekat Kubang Pasu, tengah malam tadi.
Kejadian kira-kira jam 12.55 tengah malam itu menyebabkan mangsa, Razali Abdul Manaf, 56, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, kejadian berlaku ketika Razali yang menunggang motosikal jenis Honda Wave sedang dalam perjalanan dari arah Jitra menghala ke Changlun.
"Sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa (Razali) dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Axia dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun, yang berada di belakang mangsa, dipercayai hilang kawalan.
"Kejadian menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan sebelum dilanggar sebuah kereta jenis Proton Persona dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun, yang tidak sempat mengelak mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Rodzi berkata mayat Razali dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata sebelum kejadian, Razali dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya setelah selesai bertugas syif petang yang bermula pada jam 4 petang hingga 12 tengah malam.
"Sebaik dimaklumkan mengenai kejadian ini, kami telah ke lokasi untuk menguruskan jasad arwah. Arwah seorang yang rajin dan berdisiplin sepanjang bertugas dan saya dimaklumkan semalam arwah ada menunjukkan beberapa perubahan semasa bertugas.
"Arwah yang dikenali sebagai seorang yang kurang bercakap, kerap bergurau bersama-sama rakannya di pejabat, semalam,” katanya yang turut memberitahu Razali telah enam tahun bertugas di APM Kubang Pasu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!