Permulaan sukar buat Bernhardt
FRANK Bernhardt mengakui menghadapi kesukaran apabila terpaksa berhadapan dua pasukan gergasi dalam permulaan tugasnya selepas dilantik sebagai pengendali Kelantan FC.
Menurutnya, ia cabaran besar selepas tewas kepada Selangor FC 0-3 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebelum dijadualkan berdepan Sabah FC di Stadium Likas dalam saingan Piala FA Sabtu ini.
Namun, beliau percaya mampu untuk kembali memulihkan prestasi terumbang-ambing pasukan Pantai Timur itu dalam saingan Liga Super musim ini.
"Saya percaya mampu buat perubahan untuk pasukan dan dapatkan mata. Namun, ia bukan permulaan mudah kerana perlu berdepan Selangor dan Sabah.
"Mereka pasukan kuat dan kami perlu hadapinya, tetapi ia situasi yang sukar," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Kelantan kini menghuni kedudukan ke-13 liga dengan hanya empat mata hasil satu kemenangan, satu seri dan enam kekalahan.
Mengulas mengenai kekalahan pasukannya kepada Selangor, Bernhardt melihat barisan pemainnya mampu memberikan tentangan terutama pada separuh masa pertama.
"Dalam separuh masa pertama kita ada tiga peluang terbaik untuk jaringkan gol tetapi gagal sempurnakan.
"Pada separuh masa kedua, saya menghadapi masalah untuk menukar pemain dan taktikal kerana ramai pemain cedera. Tiga gol yang kita bolos adalah agak besar tetapi kami perlu menerimanya dan bergerak ke hadapan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!