Najmil mohon maaf, tarik balik kenyataan terhadap Hannah

Najmil Faiz memohon maaf terhadap Hannah Yeoh dan menarik balik dakwaan dibuat terhadap Menteri Belia dan Sukan itu tiga tahun lalu.
Najmil Faiz memohon maaf terhadap Hannah Yeoh dan menarik balik dakwaan dibuat terhadap Menteri Belia dan Sukan itu tiga tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris memohon maaf terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan menarik balik dakwaan bahawa pemimpin DAP itu cuba memburukkan kepimpinan Islam tiga tahun lalu.

Najmil Faiz berkata, beliau dan Hannah telah bersetuju untuk satu penyelesaian damai berkenaan tindakan tuntutan mahkamah yang dimulakan oleh Ahli Parlimen Segambut itu terhadapnya.

“Saya dengan ini memohon maaf dan menarik balik kenyataan-kenyataan saya terhadap Hannah Yeoh Tseow Suan bahawa, antara lain, Hannah kononnya ‘cuba menimbulkan ketakutan kepimpinan Islam seolah-olah mengatakan Islam menyokong perkahwinan bawah umur,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Sementara itu, Hannah menerusi kenyataannya berkata, pada 5 April lalu, satu penghakiman persetujuan telah direkodkan di mana Najmil Faiz telah bersetuju menarik balik dan memohon maaf kepada beliau atas kenyataannya sebelum ini.

“Permohonan maaf tersebut disiarkan dalam media sosialnya di Twitter dan Facebook,” ujarnya.

Untuk rekod, pada 9 Mac 2020, Hannah pernah menyuarakan kebimbangannya bahawa Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur yang dilancarkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan diketepikan susulan pelantikan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Beliau ketika itu turut mempersoalkan bagaimana kerajaan akan melaksanakan pelan negara untuk membendung perkahwinan kanak-kanak sekiranya ahli Parlimen daripada Pas dilantik menjadi timbalan menteri KPWKM?

Kenyataan itu mendapat maklum balas daripada Najmil Faiz keesokan harinya.

Beliau dalam hantaran di Facebook mendakwa Hannah mengeluarkan kenyataan seolah-olah merendahkan kemampuan dan kebolehan Siti Zailah.

Najmil Faiz mendakwa, tuduhan yang dibuat Hannah yang juga bekas timbalan menteri KPWKM melampau dan cuba menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat dengan memburukkan kepimpinan Islam seolah-olah mengatakan Islam menyokong perkahwinan bawah umur.

Selain itu, beliau juga menegaskan, pemikiran sempit DAP yang mengaitkan isu berkontekskan agama adalah kolot dan biadab.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!