Duit raya dari kerajaan, rahmat buat nelayan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

TANJONG KARANG - Nelayan yang pendapatannya tidak menentu dan hanya bergantung kepada keadaan cuaca untuk mencari rezeki menyifatkan inisiatif kerajaan menawarkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM200 sebagai rahmat buat mereka.

Penerima bantuan, Jamsari Ramsah, 44, berkata, bantuan ini memperlihatkan keprihatinan kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terhadap golongan nelayan yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

"Dengan adanya bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu saya dalam membuat persiapan sambutan Aidilfitri buat keluarga kecil saya.

"Walaupun jumlahnya tidaklah sebesar mana namun ia cukup bernilai buat kami. Saya juga berharap agar kerajaan meneruskan inisiatif baik ini," kata nelayan laut itu ketika ditemui Bernama di Agrobank di sini hari ini semasa mengambil peruntukan berkenaan.

Pandangan tersebut turut disokong rakannya, Razak Yusoff, 66, yang menyifatkan sambutan perayaan kali ini lebih meriah berbanding tahun sebelumnya.

"Pendapatan kami tak tetap, kadang ada kadang tiada, macam semalam turun ke laut hanya dapat RM95 sahaja, pernah juga langsung tidak ada hasil. Usaha kerajaan ini sangat baik,” katanya yang telah menjadi nelayan sejak 40 tahun lepas.

Pada 29 Mac lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan khabar gembira itu berkata, bantuan berkenaan bakal memberi manfaat kepada 850,000 pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan yang menelan belanja RM170 juta.

Pemberian bantuan khas itu bernilai RM200 secara sekali beri kepada nelayan dan pesawah dijangka akan dapat memanfaatkan seramai kira-kira 38,500 orang nelayan dan 240,000 orang pesawah di seluruh negara.

Bagi Muhammad Nor Hafiz Azizis, 32, serta Halim Dan, 55 masing-masing merupakan nelayan darat, berharap jumlah bantuan khas itu dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa bersesuaian dengan trend kos sara hidup semakin meningkat.

Tambahan pula, kata Muhammad Nor Hafiz nelayan darat tidak mendapat keistimewaan seperti nelayan laut contohnya subsidi minyak.

"Bantuan khas seperti ini cukup membahagiakan kami. Berharap kebajikan kami terus dibela kerajaan," katanya sebagai nelayan darat mereka hanya memfokuskan di kawasan sungai.

Bayaran kepada nelayan laut disalurkan menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan nelayan darat menerusi Jabatan Perikanan Malaysia (DOF). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!