Ceroboh Masjid Al-Aqsa: Kecaman barat, PBB hanya berpura-pura
SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan kecaman negara barat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Israel berhubung pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa hanya sekadar berpura-pura.
Jelas beliau, kedua-dua pihak itu hakikatnya lebih berpihak kepada rejim tersebut semenjak dahulu lagi.
“Sejarah PBB sendiri adalah terlibat dalam menubuhkan negara haram Israel dengan tujuan yang dirancang serta mempersenjatainya. Maka, sebarang resolusi yang bertindak terhadap negara Zionis oleh mereka akan dihapuskan dengan kuasa veto yang berada pada pihaknya.
“Tindakan itu membuat PBB dan undang-undang antarabangsa mudah ditembusi, sehingga memudahkan Zionis melakukan tindakan zalim dan memiliki senjata pemusnah yang diharamkan oleh masyarakat dunia,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Isnin.
Tambahnya, kewujudan pangkalan tentera barat di Timur Tengah juga hanya bertujuan memberi sekuriti terhadap Israel dan bukannya menjadi faedah kepada masyarakat Aarab di sana.
Beliau berkata, mana-mana pihak yang berupaya menentang rejim Zionis itu akan dimusnahkan dengan alasan keamanan seperti serangan terhadap Libya, Iraq dan kini ancaman tersebut sedang ditujukan terhadap Iran.
Menurutnya, Iran kini sedang digeruni kerana menjadi saingan ketenteraan besar buat Israel.
“Pencapaian mereka dalam kemajuan teknologi tinggi yang boleh mencabar kekuatan Israel dan negara besar yang berada di bawah ketiak Israel yang berpangkalan di rantau Asia Barat.
“Bantuan Iran juga boleh memperkasakan pejuang Palestin khususnya kumpulan Islam Hamas dan Tanzim Jihad, di samping kewujudan Hizbullah di Lubnan. Perkara yang tidak mampu dilaksanakan oleh negara Arab yang berjiran serta negara Islam yang bersaudara,” jelasnya.
Bagaimanapun Abdul Hadi menyatakan perkara itu tidak menafikan hakikat umat Islam kini sedang berpecah belah sehingga menyebabkan mudah dicaturi oleh pihak musuh.
“Negara-negara Islam masih dimanipulasi oleh negara besar yang dipengaruhi Zionis sehingga ada sebahagian daripada mereka yang diperhambakan laksana lembu susu yang diperah oleh gembalanya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!