Bicara tuntutan Orang Asli terhadap kerajaan Perak bermula

Penduduk Orang Asli Kampung Tasik Asal Cunex, Gerik tiba di Mahkamah Tinggi Taiping untuk perbicaraan tuntutan saman sivil terhadap kerajaan Perak pada Isnin.
Penduduk Orang Asli Kampung Tasik Asal Cunex, Gerik tiba di Mahkamah Tinggi Taiping untuk perbicaraan tuntutan saman sivil terhadap kerajaan Perak pada Isnin.
A
A
A

TAIPING - Perbicaraan kes tuntutan saman sivil penduduk Orang Asli Kampung Tasik Asal Cunex, Gerik terhadap kerajaan Perak di Mahkamah Tinggi Taiping berlangsung selama tiga hari, bermula pada Isnin.

Perbicaraan hari pertama itu, pihak plaintif yang diwakili peguam, G Nadaraja dan R Hanita mengemukakan dua saksi, Long Uda, 73, dan Angah Itam, 57, bagi memberi keterangan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Noor Ruwena Md Nurdin.

Plaintif memfailkan saman pada Jun 2019 dengan menamakan kerajaan Perak, Pegawai Daerah dan Tanah Hulu Perak, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak sebagai defendan pertama hingga keempat.

Keempat-empat defendan berkenaan diwakili peguam, Sharifah Izura Syed Mashor manakala defendan kelima merupakan Syarikat Sediavisi Jaya Sdn Bhd diwakili peguam, Mohd Fitri Asmuni.

Dalam tuntutan itu, pihak plaintif menuntut suatu deklarasi bahawa penduduk serta nenek moyang mereka adalah berhak kepada perlindungan hak terhadap tanah menurut adat dan undang-undang.

Selain itu, plaintif menuntut satu perintah bahawa tanah tersebut diwartakan tanah adat dan dihuni secara sah.

Penduduk juga menuntut suatu deklarasi bahawa kerajaan negeri dan jabatan terlibat serta ejen-ejennya tidak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk menyekat atau memusnahkan hak-hak plaintif terhadap tanah tersebut.

Perbicaraan akan diteruskan pada Selasa dengan pihak plaintif akan mengemukakan empat lagi saksi.

Sinar Harian melaporkan Pertubuhan Perlindung Khazanah Alam (Peka) akan terus membantu nasib Orang Asli suku Temiar yang terjejas akibat kemusnahan hutan berikutan aktiviti pembalakan sejak Januari 2019.

Penduduk Kampung Tasik Asal Cunex turut kecewa apabila halangan yang dibina untuk menyekat proses membawa keluar kayu balak telah dirobohkan.

Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dalam satu kenyataan turut berharap konflik antara kerajaan Perak dengan penduduk tidak menganiaya serta meminggir orang asal sehingga mereka gelandangan di tanah air sendiri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!