'Jangan kata saya tak ingatkan' - Hassan

Hassan - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Hassan - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Pasir Gudang mendakwa Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berdepan malapetaka besar sekiranya kes Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat pengampunan diraja dan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula digugurkan semua pertuduhannya.

Hassan Abdul Karim mendakwa, dua kes berprofil tinggi tersebut akan memberi kesan terhadap kerajaan dan Perdana Menteri perlu diingatkan berkenaan perkara tersebut.

"Gabungan politik Pakatan Harapan (PH) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan ditolak oleh rakyat dalam enam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

"PH dan PKR seterusnya akan dinyahkan oleh rakyat dalam pilihan raya umum-pilihan raya umum yang akan datang.

"Kesudahannya, PH dan PKR akan rebah dan tersungkur bersama-sama Barisan Nasional dan UMNO jika Najib Razak dan Zahid Hamidi bebas dan lepas dengan begitu mudah sekali. Jika itu berlaku, jangan kata saya tak ingatkan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Pada 31 Mac lepas, Najib gagal memperoleh kebenaran menyemak hukuman dan sabitan tersebut dan susulan itu permohonan pengampunan diraja bekas Perdana Menteri itu sedang diusahakan.

Sementara pada Isnin, Ahmad Zahid memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa representasi bagi menggugurkan 47 tuduhan kes rasuah dana Yayasan Akalbudi yang dihadapinya telah dihantar kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, pada Januari dan Februari lalu.

Peguam, Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, representasi setebal 200 muka surat telah dialamatkan kepada Idrus dan ia perlu diteliti oleh pihak pendakwaan.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, alasan utama penangguhan kes Timbalan Perdana Menteri itu ialah untuk menunggu keputusan Peguam Negara sama ada 47 pertuduhan ke atas Zahid Hamidi itu wajar digugurkan ataupun tidak.

"Perkembangan apa yang berlaku di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini amat menyeramkan dan membimbangkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!