Dua tangan parah gara-gara mercun diubah suai
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki cedera parah dikedua-dua belah tangannya, dipercayai akibat terkena mercun yang telah diubah suai di Kuala Nerus, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa yang berusia 27 turut mengalami luka di bahagian badannya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Wan Mohd Zaki Wan Ismail ketika dihubungi berkata, kejadian tersebut disedari abang mangsa berusia 29 tahun selepas terdengar bunyi letupan kuat berdekatan rumahnya yang disangkakan terdapat pergaduhan dan terus menghubungi pihak polis.
"Bagaimanapun sebaik bergegas keluar dari rumah, abang mangsa mendapati adiknya mengalami kecederaan pada kedua-dua tangan.
"Abang mangsa tidak mengesyaki ia perbuatan jahat daripada mana-mana pihak kerana kejadian ini akibat perbuatan bermain mercun,” katanya.
Katanya, mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk rawatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Wan Mohd Zaki berkata, ia adalah kejadian kedua berlaku di Terengganu sejak Ramadan ini, selepas kejadian empat kanak-kanak mengalami kecederaan akibat letupan mercun yang diubah suai pada 4 April lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!