Fariq tuntut ilmu kopi terbalik di Indonesia

Mohd Fariq (dua, kanan) bersama pelanggannya Aiman Ahmad dan Anuar Ibrahim dari Kubang Kerian yang singgah minum kopi di Cafe Mamaza, Pauh Lima semalam.
Mohd Fariq (dua, kanan) bersama pelanggannya Aiman Ahmad dan Anuar Ibrahim dari Kubang Kerian yang singgah minum kopi di Cafe Mamaza, Pauh Lima semalam.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang peniaga sanggup terbang ke Indonesia semata-mata untuk mempelajari kaedah membuat kopi terbalik.

Mohd Fariq Kamil Atan, 34, yang sebelum ini tular dengan pengenalan ais kepal baldi tahun lalu, kini tampil dengan produk minuman kopi terbalik di Cafe Mamaza, bersebelahan Sekolah Kebangsaan (SK) Pauh Lima.

Mohd Fariq berkata, kopi itu diletakkan dalam gelas yang diterbalikkan di dalam piring dan perlu diminum dengan kaedah meniup terlebih dahulu sebelum kopi keluar perlahan lahan.

Katanya, dia mula menjual kopi yang diperoleh dari Indonesia itu dan setiap kilo boleh menghasilkan 60 hingga 70 gelas.

“Saya memang suka berjalan ke negara orang nak tengok apa yang boleh dijadikan sumber inspirasi untuk perniagaan saya di sini. Saya dapat inspirasi jual kopi itu masa melancong ke Indonesia dan minum di sebuah warung.

Muhd Faaiz bukan seorang penggemar kopi namun teruja dengan keenakan kopi terbalik.
Muhd Faaiz bukan seorang penggemar kopi namun teruja dengan keenakan kopi terbalik.

“Saya bernasib baik sebab pemilik warung itu sudi ajar kaedah buat air kopi itu dan diberi kepercayaan hidang kepada pelanggannya.

“Lepas itu saya balik buat dan jual di kedai kami di sini. Alhamdulillah ia semakin mendapat sambutan dan tular selepas beberapa personaliti televisyen dan pemain bola sepak singgah minum kopi di sini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Artikel Berkaitan:

Mohd Fariq berkata, kopi itu dijual hanya dengan harga RM4 bagi hidangan panas dan RM4.50 bagi yang sejuk.

Katanya, pada awal jualan dia hanya mendapatkan bekalan lima kilogram sahaja dan kini selepas tular dia memerlukan sehingga 40 kilogram setiap kali ke Indonesia.

“Kopi ini unik sebab terdapat campuran beras pulut hitam sebagai penambah keenakan rasa kopi. Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan kedai kami dibuka setiap hari kecuali Jumaat,” katanya.

Manakala, bagi seorang pelanggan, Muhd Faaiz Safei,34, dari Kota Bharu berkata, dia datang ke situ untuk mencuba kopi terbalik selepas ia tular di media sosial.

“Saya bertugas tak jauh dari sini dan selalu lalu sini. Saya tahu tentang kopi ini sejak minggu lalu di Facebook dan hanya hari ini ada masa singgah minum.

“Saya bukan penggemar kopi tapi saya rasa ia sungguh sedap dan unik, memang tak ada di tempat lain,” katanya yang juga seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Bakong.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!