JPN urus 79 pendaftaran di Karangkraf hari ini
SHAH ALAM - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berjaya mengendalikan 79 urusan melibatkan pendaftaran, penukaran kad pengenalan dan pendaftaran sijil kelahiran semasa program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Isnin.
Ketua Pengarahnya, Zamri Misman berkata, 79 urusan tersebut merangkumi satu pendaftaran baharu kad pengenalan melibatkan seorang kanak-kanak berumur 12 tahun sementara 65 lagi melibatkan penggantian.
“Pada masa yang sama, kita berjaya menguruskan 13 cabutan daftar kelahiran bagi membantu mana-mana individu yang kehilangan sijil tersebut.
“Tempoh urusan memang tidak lama, mereka yang hadir hanya memerlukan setengah jam menunggu sahaja. Ini merupakan perkhidmatan tambahan yang kita jalankan bagi memudahkan orang ramai.
“Bagi setiap bulan, kita sasar untuk adakan sebanyak 80 kali di pelbagai kawasan akan tetapi pada bulan ini, kita berjaya mengadakan 139 kali di pelbagai lokasi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.
Inisiatif Mekar yang dijalankan itu juga adalah bersempena dengan Town Hall Rakyat bersama Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang berlangsung pada tarikh sama.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin menyatakan bahawa program yang diadakan di kompleks syarikat tersebut merupakan satu usaha kolaborasi dengan agensi kerajaan bagi memudahkan urusan masyarakat.
“Kami selaku pihak Karangkraf turut mengalu-alukan pihak agensi lain untuk turun ke sini bagi menjalankan aktiviti-aktiviti menarik kepada orang ramai,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!