KKD bincang gabung NACSA, CSM kukuhkan keselamatan siber

Fahmi Fadzil ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pengamal Media di sebuah hotel malam ini. - Foto: Bernama
Fahmi Fadzil ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pengamal Media di sebuah hotel malam ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang berbincang untuk menggabungkan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity Malaysia (CSM) sebagai langkah memperkukuh keselamatan siber di negara ini.

Menteri berkenaan, Fahmi Fadzil berkata, penggabungan dua agensi itu juga dilihat dapat membantu menggerakkan usaha penubuhan Suruhanjaya Keselamatan Siber Malaysia seperti yang dihasratkan KKD sebelum ini.

"Kami sedang berbincang dengan agak mendalam dan di peringkat selanjutnya mengenai penggabungan NACSA dengan CSM tetapi kita belum sampai ke peringkat di mana penubuhan itu boleh berlaku lagi.

Ini kerana kita perlu bawa rang undang-undang ke Parlimen tetapi (penggabungan) ini antara beberapa perkara yang kita lihat perlu kita lakukan untuk memastikan data rakyat selamat dan tidak boleh dicuri serta disalah guna untuk aktiviti scammer,” katanya selepas Majlis Apresiasi Pengamal Media pada Isnin

Beliau turut mengingatkan orang ramai yang ingin membuat pengeluaran wang bagi perbelanjaan Aidilfitri supaya berhati-hati sekiranya menerima sebarang panggilan yang tidak dikenali dan mencurigakan.

Fahmi Fadzil (tengah) bersama Timbalannya, Teo Nie Ching (kanan) menyerahkan hamper penghargaan dan menyantuni wartawan veteran Bernama, Mohamad Arif Shamsuddin (kiri) pada Majlis Apresiasi Pengamal Media Bersama Fahmi Fadzil di sebuah hotel malam ini. - Foto: Bernama
Fahmi Fadzil (tengah) bersama Timbalannya, Teo Nie Ching (kanan) menyerahkan hamper penghargaan dan menyantuni wartawan veteran Bernama, Mohamad Arif Shamsuddin (kiri) pada Majlis Apresiasi Pengamal Media Bersama Fahmi Fadzil di sebuah hotel malam ini. - Foto: Bernama

"Sekiranya ada mana-mana individu menjadi mangsa scam, tolong hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 kerana kalau telefon ini dalam masa beberapa jam setelah scam berlaku hilang duit ada transaksi, Insya-Allah Bank Negara dapat bekerjasama dengan bank-bank untuk halang duit disalur keluar,” katanya.

Dalam pada itu menjelang Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang akan disambut pada 28 Mei ini di Ipoh, Perak, Fahmi berkata beliau mahu wakil media meneruskan perbincangan dalam kalangan mereka tentang masa depan industri itu di negara ini.

Beliau juga telah meminta timbalannya Teo Nie Ching untuk meneliti beberapa dasar bagi memastikan hak dan kebebasan media terjamin dan kebajikan warga media lebih terbela.

Fahmi berkata secara umum ekosistem industri media hadapi beberapa tekanan dari segi undang-undang sedia ada.

"Tekanan yang dimaksudkan bersifat ekonomi dan juga bakat serta tenaga kerja jadi mungkin ada beberapa perkara yang boleh kita teliti sekiranya perlu kita gubal apa-apa undang-undang baharu seperti kita bincangkan sebelum ini iaitu Majlis Media Malaysia dapat disegerakan dan diselaraskan,” katanya.

Ini supaya ia bukan sahaja menepati cita rasa masing-masing tetapi menyesuaikan manfaat dengan keadaan dan keperluan untuk memastikan supaya media dapat berfungsi sebagai tiang seri demokrasi untuk pastikan wujud semak imbang,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!