Nyaris termakan mata kail dalam tin sardin
BANGKOK - Seorang pengguna di Bangkok, Thailand nyaris termakan mata kail yang ditemui dalam tin ikan sardin jenama paling digemari ramai di negara tersebut, lapor Thaiger.
Sebuah laman Facebook yang melindungi pelanggan dikenali sebagai 'Phuboripok' menyiarkan gambar yang mengejutkan ramai warganet dengan ciapan bertulis seperti berikut;
"Seorang pengguna yang hendak makan ikan dalam tin telah menemui objek asing seperti mata kail. Dia (pelanggan) menulis pesanan ringkas dengan menyebut tidak akan memaafkan kawalan kualiti (QC) 100 peratus.
"Sebagai tindak balas, pelanggan itu menyiarkan soalan bahawa adakah pengguna lain akan makan ikan jenama sama selepas mengalami pengalaman ngeri itu," katanya.
Bagaimanapun, warganet mempersoalkan bagaimana mata kail boleh berada dalam tin tersebut sehingga boleh membahayakan pengguna lain.
Minggu lalu, seorang wanita Thailand menjumpai cebisan kaki tikus terapung alam pes cili dengan jeruk ikan yang dibelinya di pasar di wilayah Prachin Buri.
Dia bagaimanapun tidak mengetahui benda asing dalam botol itu sehingga diberitahu bahawa ia sebenarnya kaki tikus. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!