Kuantan pasang 160 stesen mengecas EV menjelang 2025
KUANTAN - Sebanyak 160 stesen pengecas awam bagi kenderaan elektrik (EV) membabitkan 55 lokasi di sekitar bandar raya ini akan dipasang menjelang 2025.
Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin berkata, sasaran itu dibuat dalam usaha menjadikan daerah ini sebagai bandar raya pintar sekali gus menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.
Menurutnya, bagi fasa pertama sebanyak 33 stesen pengecas EV akan dipasang di 13 lokasi dengan melibatkan kos RM4 juta.
"Setakat hari ini, 11 unit parkir stesen pengecas EV telah disediakan kepada pengguna di beberapa lokasi seperti di tiga unit di Hotel Mega View dan masing-masing dua unit di Kompleks Bandaraya Kuantan, Berjaya Megamall, Kompleks Seri Dagangan Centre serta Air Putih.
"Di lokasi ini terdapat dua stesen pengecas pantas arus-terus (DC), manakala 10 lagi bagi stesen pengecas arus ulang-alik (AC). Pemilihan pengecas DC adalah lebih pantas dan dapat meningkatkan masa mengecas bateri kenderaan jenis EV.
"Kita akan teruskan lagi usaha pemasangan stesen pengecas ini di mana pada tahun 2024 akan didirikan 16 lagi lokasi dengan 47 pengecas yang akan dipasang, dan seterusnya pada tahun 2025, sebanyak 30 lokasi melibatkan 80 pengecas," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang akhbar selepas melancarkan Stesen 'Electric Vehicle (EV) Charging' dengan kerjasama BLH Ecoenergy Sdn Bhd Yang dipasang di parkir Hotel Mega View di sini pada malam Isnin.
Hamdan berkata, MBK antara pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama yang bekerjasama dengan pihak operator bagi melaksanakan stesen pengecas EV di negara ini.
Jelasnya, kewujudan stesen ini secara tidak langsung dapat mempromosikan bumi hijau yang menyumbang kepada pengurangan bacaan kardon dioksida di Bandaraya Kuantan.
Beliau turut menjangkakan pelancongan akan bertambah dan tertarik untuk mengunjungi bandar ini apabila pemasangan stesen pengecas EV lengkap dalam tempoh tiga tahun lagi.
"Ini merupakan satu lagi inisiatif hijau atau Kuantan Go Green membabitkan penggunaan kereta elektrik. Kalau sebelum ini, rata-rata komuniti pengguna EV Yang ingin mengunjungi bandar raya ini akan tertanya-tanya lokasi mengecas kereta elektrik mereka.
"Sebelum ini memang agak sukar mendapatkan pengecas dan yang ada hanyalah inisiatif daripada pihak swasta dan penjual kereta malahan lebih menyukarkan kerana mereka tidak beroperasi 24 jam," ujarnya.
Tambah Hamdan, stesen pengecas itu ditempatkan di kawasan pelancongan seperti Cherating sehingga ke Gambang, Tanjung Lumpur, Batu Hitam, KotaSAS dan Sungai Lembing.
"Ini juga sebagai satu usaha mensasarkan pertambahan bilangan pelancong daripada negara jiran iaitu Singapura dan Thailand yang susah banyak menggunakan EV," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!