Ancelotti enggan layan spekulasi ke Chelsea, Brazil
JURULATIH berpengalaman, Carlo Ancelotti enggan melayan spekulasi yang mengaitkannya untuk membimbing Chelsea dan skuad kebangsaan Brazil kerana menghormati majikannya, Real Madrid.
Kontrak pengendali Itali itu masih berbaki setahun, namun ia tidak terlepas menjadi 'mangsa' khabar angin beberapa pasukan termasuk The Blues dan Selecao sejak kebelakangan ini.
"Begitulah. Saya masih ada kontrak sehingga 30 Jun 2024. Saya perlu menghormati perkara ini," katanya.
Ancelotti pernah mengendalikan Chelsea selama dua tahun dan membimbing mereka memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala FA musim 2009/10.
Real Madrid akan berdepan bekas kelabnya itu dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah minggu ini.
Bagaimanapun menjelang aksi suku akhir itu, Ancelotti enggan menjawab sebarang soalan mengenai spekulasi bahawa dia akan meninggalkan Santiago Bernabeu untuk menyertai pasukan baharu.
"Ada ayat yang manis untuk bercakap mengenai perkara ini dengan cara yang betul.
"Ia hanya angin yang membawa perkhabaran ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!