‘Membeli Untuk Memberi’ beri manfaat 3,000 penerima
SHAH ALAM – Perintis eDagang Asia Tenggara, Lazada berkerjasama dengan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Islamic Relief Malaysia dan MyFundAction menerusi kempen derma amal dan inisiatif impak sosial, ‘Membeli Untuk Memberi’ bermula 20 Mac sehingga 21 April 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Alan Chan berkata, melalui kempen itu, Lazada akan menderma kepada tabung dana amal Islamic Relief Malaysia dan MyFundAction menerusi setiap pesanan lengkap di platform Lazada.
Beliau berkata, dana amal tersebut akan membolehkan rakan NGO untuk menyediakan dan mengagihkan set ‘Pakej Raya’ yang mengandungi beras, gula, makanan dalam tin, produk kebersihan dan beberapa keperluan asas yang lain kepada lebih 3,000 penerima sumbangan di seluruh Malaysia, termasuklah komuniti yang memerlukan di PPR, rumah jagaan prihatin dan rumah anak yatim.
“Kempen ‘Membeli Untuk Memberi’ berhasrat untuk memberikan inspirasi ke arah amalan seperti bersedekah, bermurah hati dan beramal baik menerusi cara dan langkah semudah membeli-belah di platform kami.
“Rakyat Malaysia sedang sibuk membuat persiapan raya, Lazada ingin memudahkan para pelanggan dengan menawarkan pelbagai promosi produk seperti baju raya, barangan runcit, gajet digital, barangan elektrik dan elektronik, produk kelengkapan rumah untuk menghias kediaman menjelang sambutan hari raya serta keperluan balik kampung.
“Kempen ini diharapkan dapat memudahkan proses membeli-belah dalam talian dan membolehkan para pelanggan untuk berjimat menerusi pembelian pada harga yang berbaloi, di samping menyumbang kepada inisiatif amal Membeli Untuk Memberi,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, pada akhir Mac lepas, Lazada menyampaikan set ‘Pakej Raya’ kepada 60 penerima sumbangan dan van dan lori Lazada logistik juga telah dimobilisasikan ke seluruh negara untuk menghantar bantuan ‘Pakej Raya’ kepada penerima sumbangan di Kuantan, Kajang, Nilai dan Puchong pada bulan Mac.
Pada bulan April, sumbangan akan disampaikan kepada komuniti yang memerlukan di Tanah Merah, Batu Pahat, Segamat, Kuala Nerang, Melaka, Teluk Panglima Garang, Klang, Beranang, Lembah Subang, Shah Alam, Gombak, Setapak, Pandan Perdana, Titiwangsa, Kota Kinabalu, Keningau, Kundasang, Semporna dan beberapa lagi daerah di seluruh Malaysia.
Menerusi kempen Membeli Untuk Memberi, Lazada berhasrat untuk membantu seramai mungkin keluarga dan komuniti yang memerlukan dan ianya pasti mampu direalisasikan dengan sokongan dan penglibatan para pelanggan yang bermurah hati menyumbang ke arah insiatif impak sosial dan derma amal tersebut.
Sempena Ramadan, Lazada juga mengadakan R!UH x Lazada Irama Raya Bazaar Ramadan Hujung Minggu, siri siaran langsung istimewa ‘Membeli Untuk Memberi’ di LazLive, Lazzie Hunt: Hadiah Hebat dan Ganjaran Hebat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!