Lampard idam ulangi kejayaan 2012
FRANK Lampard mahu para pemainnya melupakan kemelut yang menyelubungi pasukan ketika ini dan cuba menampilkan aksi luar biasa untuk menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara seperti yang dilakukan pada 2012.
Lampard kembali mengetuai Chelsea sehingga akhir musim selepas menggantikan Graham Potter yang dipecat minggu lalu.
Selepas menyaksikan Chelsea tewas 0-1 di tangan Wolves dalam perlawanan pertamanya sebagai pengurus pada hari Sabtu, Lampard kini membawa mereka ke Real Madrid untuk perlawanan pertama suku akhir Liga Juara-Juara pada Khamis.
Lampard mengetuai Chelsea dalam kejuaraan yang tidak dijangka ketika menjuarai Liga Juara-Juara 11 tahun lalu.
The Blues menamatkan saingan di tempat keenam Liga Perdana Inggeris (EPL) pada ketika itu dengan Roberto Di Matteo menggantikan Andre Villas-Boas yang telah dipecat pada Mac.
Tetapi, dalam saingan Liga Juara-Juara, mereka menukar defisit perlawanan pertama 3-1 untuk menewaskan Napoli pada pusingan 16 terakhir, kemudian bangkit daripada ketinggalan 2-1 secara agregat pada perlawanan separuh akhir kedua untuk menyingkirkan Barcelona.
Dalam perlawanan akhir menentang Bayern Munich, mereka memerlukan gol penyamaan terakhir daripada Didier Drogba untuk mencipta kemenangan penentuan penalti ke atas pasukan dari Jerman itu.
Untuk mengulangi kejayaan dongeng itu tampak agak sukar, namun Lampard menegaskan apa juga boleh berlaku jika pemainnya menunjukkan keinginan yang tinggi.
"Kami mempunyai keinginan yang tinggi dan pemain yang hebat dalam pasukan yang telah berusaha selama bertahun-tahun untuk memenangi Liga Juara-Juara.
"Sebuah pasukan akan sentiasa melalui saat-saat sukar untuk mencapai sesuatu yang hebat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!