[VIDEO] Niat beramal, peniaga jual roti john RM1

A
A
A

NILAI - Tidak mahu ketinggalan untuk beramal pada bulan Ramadan, seorang peniaga roti john di bazar Ramadan Putra Point Nilai di sini menjual juadah tersebut dengan harga RM1.

Setiap hari, sebanyak 150 roti john harga Rahmah dijual Mohd Tarmimi Mohd Sharap, 36, kepada pelanggan.

Malah ada kalanya ia diberi secara percuma apabila ada pihak lain yang berniat mahu bersedekah.

Menurutnya, menjadi rutinnya sejak lima tahun berniaga di bazar Ramadan untuk menjual menu roti john dengan harga mampu milik.

Mohd Tarmimi
Mohd Tarmimi

"Bezanya roti john ini dengan roti john lain kerana ia hanya diletakkan sayur dan telur atau lebih mudahnya orang cakap roti john 'vegetarian'.

"Kalau ikutkan memang tak untung sangat pun jual dengan harga RM1 kerana harga roti saja dah RM1. Tapi niat saya berniaga sambil bersedekah dan Alhamdulillah ia mendapat sambutan menggalakkan," katanya ketika ditemui pada Ahad.

Menurutnya, seawal jam 4 petang orang ramai sudah mula beratur untuk mendapatkan roti john tersebut dan biasanya akan habis dalam masa satu jam.

Bagi memastikan ramai yang boleh merasa, Mohd Tarmimi berkata, setiap pelanggan hanya dibenarkan membeli satu roti john RM1.

Mohd Tarmimi
Mohd Tarmimi

"Sebenarnya timbul idea untuk jual roti john murah ini kerana sebelum ini saya ada terima mesej daripada orang awam yang teringin makan roti john tapi tiada duit.

"Jadi saya formulakan keinginan mereka dengan jual roti john RM1 setiap kali Ramadan," katanya.

Sementara itu katanya, inisiatif menjual roti john harga murah itu juga secara tidak langsung dapat membantu mempromosikan gerainya yang turut menjual roti john lain dengan harga RM10 ke RM18.

"Kita ada roti john daging, ayam dan kambing. Setiap hari sebanyak 300 sehingga 400 yang terjual.

"Kualiti roti john RM1 dengan roti john harga biasa sama saja. Cumanya roti john RM1 kita hanya letak sayur," katanya.

Orang ramai mula beratur seawal jam 4 petang untuk membeli roti john RM1
Orang ramai mula beratur seawal jam 4 petang untuk membeli roti john RM1

Dalam pada itu ujarnya, dengan kenaikan harga barang mentah sekarang sememangnya kebanyakan peniaga berdepan kekangan untuk menjual makanan dengan harga murah.

Bagaimanapun katanya, peniaga masih boleh memperoleh keuntungan meskipun ia bukan dalam jumlah yang besar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!