Permintaan lemang meningkat menjelang Aidilfitri
KUALA KRAI - Peniaga lemang di Kuala Krai kini mula membuat persiapan untuk tempahan berikutan permintaan tinggi daripada pelanggan setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Rezeki membuat lemang meningkat lebih 70 peratus berikutan ramai perantau yang dalam perjalanan pulang ke Kelantan melalui Lebuh Raya Kuala Krai- Gua Musang singgah di kawasan dikenali sebagai kampung lemang.
Peniaga, Fatimah Yaacob, 54, mengakui tidak menang tangan membakar lemang menjelang hari raya kerana tempahan terlalu banyak.
Menurutnya, lemang dibakar lebih awal iaitu dua hari sebelum Aidilfitri atas permintaan pelanggan yang singgah mengambil juadah itu sebelum pulang ke destinasi mereka.
Dia yang terpaksa mengupah beberapa pembantu memberitahu, tempahan lemang yang diterima ialah antara 3,000 hingga 4,000 batang dalam tempoh itu.
"Kami mula membakar lemang pada jam 3 pagi dua hari sebelum Aidilfitri tanpa henti bagi membolehkan pelanggan mengambil tempahan tepat pada waktunya," katanya.
Fatimah yang sudah 30 tahun membuat lemang menggunakan 60 kilogram (kg) beras pulut berbanding hari biasa hanya antara 6kg hingga 10kg sahaja.
Ibu kepada empat anak berusia antara 13 hingga 34 tahun itu juga menggunakan daun pisang hutan kerana lebih menjimatkan kos berbanding daun lerek yang menyerap lebih banyak santan.
"Bagaimanapun, rasanya tetap enak dan menjadi pilihan ramai penggemar lemang," katanya.
Tambah Fatimah, sejak suaminya, Che Ghani Che Weil, meninggal dunia kerana sakit tua kira-kira 10 tahun lalu, Fatimah meneruskan usaha itu dibantu anak-anak.
Lemang yang dijual bermula pada harga RM3.50 bergantung kepada saiz buluh dan pelanggan juga boleh membeli serunding dan rendang di gerainya.
Sementara itu, Sariwati Yaacob, 46, dari Kampung Lepan Jenut turut bertungkus-lumus menyiapkan lebih 2,000 batang lemang untuk pelanggan yang singgah membeli di gerainya.
Ibu tunggal itu memberitahu, untuk menyiapkan jumlah berkenaan, dia memerlukan lebih 30kg santan dengan 50kg beras pulut.
"Ramai juga pelanggan yang menempah melalui telefon dan akan dihantar pada pagi Aidilfitri.
"Kebiasaannya, menjelang tiga hari Aidilfitri, saya mula sibuk membeli buluh dan memproses lemang untuk jualan," katanya.
Sariwati yang mewarisi pembuatan lemang daripada ibunya, Bainah Awang Long, 68, kini berbangga kerana anaknya juga turut mengambil tempahan.
"Proses membuat lemang tidak sukar tetapi mungkin mengambil masa yang lama untuk siap terutama membakar.
"Kami mula memproses lemang pada jam 8 malam dengan merendam beras pulut selama setengah jam sebelum dicampur santan dan dibakar," katanya.
Menurut Sariwati, lemang boleh disimpan dalam peti sejuk beku untuk tahan lebih lama dan dikukus sebelum dinikmati bersama lauk sama ada rendang atau serunding.
Sariwati turut berkongsi tips bahawa pulut untuk membuat lemang lebih enak dibakar terus daripada dikukus terlebih dahulu.
"Mungkin ada penjual yang kukus terlebih dahulu sebelum memasukkan ke dalam buluh supaya masa membakar dapat dikurangkan.
"Bagaimanapun, kaedah itu menyebabkan air buluh meresap ke dalam pulut sekaligus menjadikan rasanya kurang enak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!