Kos sara hidup terus jadi tumpuan kerajaan - Rafizi

Rafizi
Rafizi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan terus melaksanakan inisiatif yang dapat mengurangkan bebanan rakyat terutamanya dalam menangani isu kos sara hidup, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, sejak awal tahun ini, kerajaan telah melaksanakan Menu Rahmah yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Perpaduan di bawah program Payung Rahmah yang disasarkan untuk membantu golongan miskin.

Katanya, kerajaan juga telah melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bertujuan membasmi kemiskinan dan menambah pendapatan rakyat menerusi inisiatif pertanian, perniagaan makanan dan operator perkhidmatan​.

"Apabila lebih banyak juadah makanan dijual pada harga lebih rendah sama ada melalui Menu Rahmah atau IPR, itu akan mewujudkan persaingan yang akan meredakan kenaikan harga barang makanan siap yang seterusnya membantu kerajaan mengekang inflasi,” katanya baru-baru ini.

Terbaru, bersempena dengan bulan Ramadan, kerajaan juga memperkenalkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di bawah inisiatif Payung Rahmah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di 38 lokasi di seluruh negara.

Pelaksanaan BRR merupakan hasil kerjasama peniaga melalui libat urus bersama KPDN dalam menawarkan harga Menu Rahmah sebagai usaha untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Inisiatif lain bagi mengurangkan beban rakyat juga termasuklah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi perayaan Tahun Baru Cina 2023 pada Januari lepas, melibatkan lapan jenis barangan, antaranya ikan bawal putih, udang putih, bawang putih dan daging babi.

Kerajaan juga menjalankan Program Penyeragaman Harga (PPH) dengan peruntukan sebanyak RM200 juta pada tahun ini, bertujuan memastikan penduduk luar bandar terutamanya pedalaman dan pulau, menikmati tujuh harga barangan keperluan pada kadar sama seperti di bandar.

Ini termasuklah beras putih, gula putih bertapis kasar, tepung gandum, minyak masak tulen, gas petroleum cecair (LPG), petrol RON 95 dan diesel.

Sehingga kini, PPH memberi manfaat kepada lebih 1.2 juta penduduk meliputi 798 kawasan luar bandar membabitkan enam negeri merangkumi Sabah, Sarawak, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Dalam pada itu, melalui Kementerian Komunikasi dan Digital, beliau berkata, Menterinya, Fahmi Fadzil telah memperkenalkan Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih atau dikenali sebagai Pakej Perpaduan yang bernilai RM30.

Fokusnya, bagi meningkatkan capaian Internet untuk golongan belia, kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40), orang kurang upaya (OKU), warga emas dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta veteran polis.

Bagi bantuan sosial pula, pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 kepada 8.7 juta golongan B40 bernilai RM1.67 bilion telah disalurkan secara berperingkat sejak 17 Jan 2023.

"Berdasarkan situasi semasa, kadar inflasi dijangka kekal terkawal, iaitu antara 2.8 peratus dan 3.8 peratus pada 2023 berikutan prospek yang lebih stabil.

"Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan ekonomi negara kekal kukuh, berdaya tahan dan mampan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.

Rafizi berkata usaha akan ditumpukan bagi memastikan strategi dan inisiatif untuk menstrukturkan semula ekonomi mengambil kira keperluan rakyat.

"Ini bagi membolehkan matlamat negara berpendapatan tinggi, inklusif dan mampan dapat dicapai selaras dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya.

Berdasarkan usaha kerajaan ini, kadar inflasi di negara ini juga mula dilihat kesannya apabila Indeks Harga Pengguna (IHP) pada Februari 2023 kekal menyederhana pada 3.7 peratus sepertimana Januari 2023, berbanding 4.7 peratus yang merupakan kadar tertinggi inflasi pada Ogos 2022. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!