World#QuranHour ajak masyarakat tadabbur al-Quran
SEREMBAN - Program World#QuranHour bukan saja berjaya menggalakkan masyarakat membaca al-Quran tetapi juga mentadabbur dengannya.
Penyelaras Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Gharizah Hashim berkata, ia terbukti apabila banyak kelas tadabbur diwujudkan termasuk di masjid.
"Walaupun dalam program ini hanya satu jam diperuntukkan untuk membaca al-Quran, tapi ia sebenarnya telah berjaya menyuntik masyarakat untuk terus menjadikan rutin membacanya setiap hari.
"Malah saya lihat masyarakat kita bukan sekadar seronok membaca al-Quran, tetapi mula berinteraksi dengan kitab suci itu menerusi kaedah baca, faham dan amal," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Menurutnya, Surah Al-Insan menjadi pilihan kali ini yang membawa mesej melahirkan insan al-Abrar yang ikhlas dan sabar dalam menunaikan hak ALLAH dan menunaikan hak sesama manusia.
Ujarnya, dengan inisiatif yang dijalankan ini diharap Al-Quran dan As-Sunnah kembali menjadi manual dan rujukan dalam kehidupan sama ada di dalam keluarga, organisasi, masyarakat dan negara.
Sementara itu katanya, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seremban menjadi lokasi utama penganjuran World #QuranHour di Negeri Sembilan yang berlangsung serentak seluruh Malaysia pada 13 April ini.
"Saya jangkakan sebanyak 1,000 lokasi yang akan menjayakan program itu. Tapi di lokasi utama kira-kira 500 penyertaan.
"Ia termasuk di 326 sekolah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah, jabatan-jabatan kerajaan dan semua perpustakaan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini terdapat 50 Rumah Ngaji Negeri Sembilan dan setiap tahun akan bertambah.
"Kita bersyukur ada ramai pihak yang tampil yang nyatakan hasrat berminat mengusahkan Rumah Ngaji dan ia secara tak langsung menggalakkan lebih ramai masyarakat untuk mendalami al-Quran.
"Lagi pun kelas mengaji disediakan adalah percuma dan ia terbuka kepada sesiapa yang berminat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!