Bekas Timbalan Pengurus Besar PPK didakwa minta suapan RM6,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Timbalan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sepang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas dua pertuduhan meminta suapan wang berjumlah RM6,000 berkaitan Program Dana Jaminan Makanan Tahun 2021.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, Mohd Asyraf Mohd Fauzi, 36, didakwa secara rasuah meminta wang daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun sebagai dorongan untuk mendapatkan kerja-kerja pembersihan dan pembekalan anak benih tebu telur berkaitan Projek Dana Jaminan Makanan Tahun 2021: Projek Pertanian Organik Tebu Telur daripada PPK Sepang.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Kampung Giching, Sepang, dekat sini sekitar September 2021.

Tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Mohd Asyraf boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan ikat jamin berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan.

Peguam Saleh Ahmad yang mewakili tertuduh, memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana anak guamnya memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan dijalankan serta menanggung seorang isteri dan empat orang anak.

Hakim Rozilah Salleh menetapkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan semua permohonan syarat tambahan yang dimohon pendakwaan, selain menetapkan 24 Mei depan untuk sebutan semula kes. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!