Bersih, GBM kutuk kempen cemar nama baik badan kehakiman

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) mengutuk kempen terbaharu yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana mencemarkan nama baik Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Bersih dan GBM menerusi kenyataan bersama menegaskan, kempen yang digerakkan itu telah direka untuk menjatuhkan pentadbiran undang-undang dan mencemarkan nama baik badan kehakiman Malaysia.

Kata kenyataan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mempunyai kepakaran untuk menentukan sama ada hakim yang mempengerusikan perbicaraan jenayah mempunyai konflik kepentingan sehingga memerlukan beliau untuk menarik diri daripada perbicaraan atau menentukan sama ada hakim telah melanggar Kod Etika Hakim 2009.

“Siasatan terhadap Mohd Nazlan telah dilaksanakan tanpa merujuk kepada Ketua Hakim Negara dan fakta penyiasatan telah diuar-uarkan tanpa mendapat persetujuan beliau.

“Hal ini telah dipegang oleh Mahkamah Persekutuan sebagai petunjuk kuat yang menunjukkan kekurangan niat baik dalam siasatan jenayah dan kini, kandungan penemuan siasatan SPRM juga telah diuar-uarkan kepada orang ramai oleh Menteri,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Mohd Nazlan telah membuat laporan polis berhubung satu artikel bertajuk ‘Group calling for Najib’s pardon now wants judge Nazlan Arrested’ dan ‘Shocking Revelation: Najib’s Trial Judge Nazlan’s Conflict-of-Interest Exposed’ bertarikh 14 Mac lalu.

Jelas kenyataan itu, berikutan penyiasatan tersebut SPRM boleh mengemukakan aduan kepada Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan untuk menentukan tindakan lanjut di bawah Kod Etika Hakim 2009.

Tambahnya, pengurusan perbicaraan jenayah adalah urusan mahkamah perbicaraan atau rayuan secara konsisten menolak tuduhan oleh peguam Najib dan urusan etika kehakiman adalah untuk Ketua Hakim Negara, Jawatankuasa Etika Kehakiman atau tribunal yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

“Campur tangan SPRM dalam urusan pengurusan perbicaraan kehakiman dan etika kehakiman menunjukkan keangkuhan, kebiadaban dan penghinaan kepada kebebasan badan kehakiman.

“Sebarang siasatan terhadap tindakan SPRM yang dinilai sebagai niat jahat terhadap Mahkamah Persekutuan dan masa ‘meragukan’ untuk menguar-uarkan siasatan mereka sebelum rayuan akhir SRC Najib di mahkamah tertinggi tahun lepas, perlu dimulakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen,” jelas kenyataan itu.

Ujar kenyataan itu lagi, tuduhan semberono salah laku kehakiman adalah sangat serius dan berpotensi merosakkan, bahkan Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan untuk membenarkan perjalanan mahkamah dibahaskan di Parlimen, kecuali dengan usul substantif yang dibawa oleh tidak kurang daripada satu per empat ahli Dewan.

Dalam pada itu, Bersih dan GBM memohon kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan semua rakyat Malaysia untuk menolak percubaan daripada penjenayah yang disabitkan untuk menjatuhkan pentadbiran keadilan serta mencemarkan nama baik badan kehakiman.

“Ketua Hakim Negara perlu diberikan ruang untuk menentukan sebarang tindakan yang bersesuaian secara bebas berdasarkan maklumat yang dirujuk kepada beliau,” kata kenyataan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!