Maritim Johor gagalkan aktiviti jenayah 11 warga asing
KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Zon Maritim Tanjung Sedili berjaya menggagalkan aktiviti jenayah selain menahan 11 warga asing dalam operasi khas Aidilfitri yang dilancarkan sejak Sabtu lalu.
Menurut pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam, tangkapan pertama dibuat pada 9 April lalu hasil maklumat Sistem Pengawasan Maritim Laut (SWASLA) yang mengesan pergerakan mencurigakan dari perairan Indonesia.
"Sebaik mengesan aktiviti itu, aset Maritim Malaysia yang beroperasi segera diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan bot kayu di kedudukan 5.4 batu nautika tenggara Tanjung Setapa sekitar 10.40 malam.
"Pemeriksaan lanjut mendapati bot kayu tanpa nombor pendaftaran itu membawa seramai lima lelaki warga Indonesia berumur antara 29 hingga 47 tahun tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan disyaki
pendatang asing tanpa izin (PATI).
"Kesemua lelaki itu termasuk bot yang digunakan ditahan dan kes akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 iaitu cuba keluar atau masuk Malaysia melalui pintu tidak diwartakan serta menjalankan penyeludupan migran," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Tambah Mohd Najib, pihak APMM kemudiannya melakukan tangkapan kedua sekitar jam 12.30 tengahari Isnin apabila menahan sebuah bot kayu di kedudukan 3.7 nautika ke tenggara Tanjung Setapa kerana disyaki melakukan pecah masuk dan mencuri.
Katanya, aduan telah diterima oleh Zon Maritim Tanjung Sedili sekitar 12 tengah hari daripada nakhoda bot tunda TARGET 10.
"(Kru) bot tunda yang membawa muatan besi buruk dalam perjalanan ke Pulau Pinang itu memaklumkan mereka dihimpit beberapa bot dinaiki oleh beberapa suspek dipercayai untuk mencuri.
"Sebaik menerima aduan berkenaan, aset Maritim Malaysia segera ke lokasi dan berjaya memintas sebuah bot kayu sarat dengan muatan besi buruk yang dicuri bersama dengan enam suspek lelaki warga Indonesia yang antara 23 hingga 51 tahun.
"Kesemua mereka ditahan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 380 dan 445 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta pecah masuk. Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak lebih sepuluh tahun dan boleh
juga dikenakan denda atau sebatan.
Mohd NaJib berkata, pihak Maritim Malaysia memandang serius dan sentiasa mempertingkatkan operasi tambahan semasa musim perasaan yang bakal tiba tidak lama lagi.
Justeru, katanya orang ramai perlu berperanan sebagai mata dan telinga dalam menyampaikan maklumat bagi mengekang serta memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan.
"Sebarang maklumat boleh laporkan segera di talian 07 - 8916591 atau'11Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!